SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan telah merampas pelbagai barangan disyaki tiruan di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang di sini yang membabitkan keseluruhan nilai rampasan lebih RM100,000 pada Khamis.
Operasi Gempur Barang Tiruan bermula jam 9 malam yang melibatkan kerjasama polis itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada pemilik cap dagang.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, sebanyak 4,389 jenis barangan pelbagai jenama disyaki tiruan telah dirampas.
"Operasi yang turut melibatkan wakil-wakil pemilik cap dagang berdaftar telah merampas barangan yang disyaki tiruan seperti seluar, baju, selipar, kasut dan beg tangan pelbagai jenama.
"Nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM127,150 dan enam warga tempatan telah ditahan di lokasi bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Menurutnya, lapan kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (b) Akta Cap Dagangan 2019.
Jelasnya, mana-mana orang yang menjual atau menawarkan atau mendedahkan bagi jualan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum di bawah akta yang sama iaitu jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
"Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
"Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak
melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.
Jelas beliau, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan harian dan orang ramai digesa supaya lebih berhati-hati dalam pembelian barangan berjenama di pasaran.
Muhammad Zahir berkata, para peniaga diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan dengan menjual barang tiruan pada musim perayaan dan mematuhi semua perundangan sedia ada.
"KPDN Negeri Sembilan meminta kerjasama orang ramai untuk membuat aduan sekiranya berlaku salah laku oleh peniaga berhubung ketidakpatuhan bersama butiran aduan yang lengkap melalui saluran berikut," katanya.
Sementara itu katanya, serbuan dilakukan melibatkan seramai 66 orang pegawai penguat kuasa KPDN, 11 anggota polis dan turut 12 wakil pemilik cap dagang.