Projek tenusu sumber baharu Pahang

Iklan
Mohd Soffi menjawab pertanyaan Andansura pada sidang Dun hari ini.
KUANTAN -Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan projek tenusu, First Dairy Farm sebagai sumber baharu kerajaan dengan mewujudkan Pahang Dairy Valley.

Exco Pertanian Industri Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, meskipun perniagaan mahu dilaksanakan itu sama, namun pengurusan dan pengendalian yang berbeza mungkin boleh menentukan kejayaan projek itu.

Menurutnya, walaupun pada awal projek terbabit gagal, namun ia pasti boleh berjaya, sekiranya diuruskan dengan sebaiknya.

"Ia ibarat perniagaan nasi lemak, ada ramai yang menjualnya, ada yang berjaya sehingga tidak cukup tangan.. tapi ada juga yang gagal... Jadi begitu juga dengan sektor tenusu ini.

Walaupun ada yang gagal, tetapi ada juga yang berjaya seperti The Holstein Milk Company Sdn Bhd."Syarikat ini kita lihat sudah berjaya mengusahakan sektor tenusu sehingga menjadi kebanggaan masyarakat Muadzam Shah dan Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Andansura Rabu (Pas-Beserah) yang bertanyakan tentang faktor kegagalan First Dairy Farm dan langkah kerajaan untuk memastikan syarikat lain tidak mengalami situasi sama. Mohd Soffi berkata, sekiranya dilihat dari segi perbandingan itu, banyak perkara yang boleh diambil iktibar.

Jelasnya, ini termasuk pengusahanya sebagai pemegang saham terlibat secara langsung dalam pengurusan ladang itu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kejayaan yang ditunjukkan syarikat The Holstein Milk itu, membuatkan kerajaan negeri yakin untuk mencapai sasaran mengeluarkan 40 juta liter susu dari Pahang Dairy Valley.

"Kita yakin sasaran ini mampu dicapai dan ia melibatkan daerah Rompin, Pekan dan Kuantan menjelang 2025,” katanya. Habis# Caption: Mohd Soffi menjawab pertanyaan Andansura pada sidang Dun hari ini.