Kos bayar cukai akan naik, Ku Li gesa kerajaan kaji semula PSB

Iklan
Tengku Razaleigh Tengku Razaleigh
Tengku Razaleigh

KUALA LUMPUR - Pemimpin Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa kerajaan untuk mengkaji semula Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bagi memastikan orang Melayu tidak terpinggir dan terusir dari bandar.

Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan pada dasarnya tidak bersetuju dengan cadangan penggubalan RUU tersebut kerana mendakwa ia boleh meningkatkan kos hidup, yang akhirnya menyebabkan orang Melayu dan golongan miskin terpaksa berhijrah ke luar bandar.

Iklan
Iklan

"Cukai bandar akan naik, cukai pendapatan akan naik, cukai taksiran akan naik dan orang yang berpendapatan tak banyak sudah tentu tidak dapat nak melayan ataupun memenuhi tuntutan masyarakat bandar.

"Jadi, mungkin terpaksa berpindah kepada tempat yang murah, yang lebih padan dengan pendapatan dia. Akhirnya orang ini akan keluar dari bandar," katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di sini, pada Jumaat.

Iklan
Tengku Razaleigh (tengah) bergambar dengan pemimpin Parti Putra yang menghadiri majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur pada Jumaat. Tengku Razaleigh (tengah) bergambar dengan pemimpin Parti Putra yang menghadiri majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Tengku Razaleigh (tengah) bergambar dengan pemimpin Parti Putra yang menghadiri majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau menegaskan bahawa orang Melayu berhak tinggal di mana-mana sahaja di negara ini, termasuk di bandar-bandar besar, dan mesti diberi peluang untuk memiliki tempat tinggal di kawasan tersebut.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan penggubalan PSB tidak akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengusir mana-mana pemilik harta asal, tanpa mengira etnik.

Iklan

Perdana Menteri juga menegaskan, tidak akan ada peruntukan di bawah RUU berkenaan yang membenarkan pengusiran pemilik harta bandar.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau menyokong penuh cadangan supaya jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja.

Menurutnya, perkara sama turut diamalkan oleh negara maju bagi membuka ruang kepada pemimpin muda menerajui negara.

"Saya rasa di Malaysia pun eloklah (dilaksanakan) kalau nak tarik banyak daripada bakat muda menyertai lapangan politik.

"Kalau mereka mempunyai potensi memimpin, kenapa tidak, bagi lah mereka keluar dengan idea baharu supaya selari dengan perkembangan yang berlaku di sekeliling dunia," ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh meramalkan Barisan Nasional (BN) tidak akan menghadapi masalah besar untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam pilihan raya kecil (PRK) bulan depan.

Malah, beliau menjangkakan BN mampu menang besar berdasarkan rekod kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Kalau dulu-dulu, kita menang dengan mudah di sana. Saya tak fikir sekarang ini pun keadaan pengundi di situ berubah dengan banyak," katanya.