KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan mendedahkan ramai usahawan yang terdiri daripada pengasas produk dan pempengaruh di negeri ini menunjukkan kemewahan adalah dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ia berdasarkan beberapa kes yang pernah dilaporkan sebelum ini.
"Pada tahun 2020 satu kes melibatkan usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri ditahan kes seludup dadah.
"Perniagaan yang nampak berjaya jadi topeng kegiatan haram," katanya dalam satu hantaran di TikTok pada Jumaat.
Menurut beliau, seterusnya pada 2021, seorang usahawan kosmetik bergelar Datin ditahan kerana mengedar dadah dengan modus operandi yang sama, iaitu menggunakan perniagaan untuk menyembunyikan jenayah mereka.
"Terkini, pada 2024, satu lagi kes melibatkan seorang ahli perniagaan yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah di Kelantan," ujarnya.
Mohd Yusoff memberitahu, sindiket ini menggunakan perniagaan sebagai saluran untuk mencuci wang haram dan menggunakan individu lain bagi mengelirukan pihak berkuasa.
"Undang undang tidak mengenal pangkat atau gelaran, jika terlibat tindakan tegas akan diambil.
"Ini amaran kami di IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Kelantan. Kami tidak akan berkompromi dengan anak muda dan pempengaruh yang terlibat dalam jualan dadah. Jihad dadah," katanya.