BEIJING – Seorang bekas pengawal keselamatan di Universiti Peking akhirnya bergelar peguam selepas 10 tahun berusaha mengubah nasibnya.
Liu Zheng, 33, berasal dari keluarga miskin di wilayah Hebei. Ibu bapanya menanam anggur untuk menyara hidup sambil menjaga neneknya yang terlantar sakit.
Ketika menuntut di universiti swasta, Liu bekerja keras dengan mengambil pelbagai pekerjaan termasuk di tapak pembinaan dan kedai gunting rambut. Namun, bidang kejuruteraan yang dipelajarinya bukanlah minat sebenar.
Selepas menamatkan pengajian pada 2015, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di Universiti Peking dengan gaji 3,000 yuan (RM1,832) sebulan. Ketika itulah dia mula mengikuti kuliah undang-undang secara auditan dan mengumpul buku teks terpakai untuk belajar sendiri.
Bagaimanapun, pekerjaan sebagai pengawal keselamatan sering membuatnya berasa rendah diri. Dia tidak dibenarkan masuk ke perpustakaan dan sering merasakan dirinya ‘orang luar’ dalam kalangan pelajar universiti tersebut.
Pada 2016, Liu mula bersiap sedia untuk peperiksaan kelayakan guaman negara sambil menyambung pengajian sarjana secara separuh masa. Dia gagal lima kali sebelum akhirnya lulus pada 2022.
Januari lalu, atas cadangan seorang profesor, Liu diterima bekerja di Firma Guaman Beijing Weiheng, salah satu firma guaman terkemuka di China.
Kini, dia semakin mahir dalam mengendalikan dokumen dan perundingan undang-undang. Mentornya, Li Yanna, memuji etika kerja serta semangat belajarnya yang tinggi.
Kisah Liu menjadi inspirasi ramai di media sosial China. Dari seorang pengawal keselamatan yang dipandang rendah, dia kini membuktikan bahawa kejayaan datang kepada mereka yang tidak pernah berputus asa. - Agensi