SHAH ALAM - Pemilik tanah berdaftar di Malaysia mempunyai hak mutlak ke atas hartanah mereka dan boleh mengambil tindakan undang-undang di mahkamah terhadap penceroboh bagi tujuan pengusiran serta pemilikan kosong terhadap hartanah tersebut.
Peguam, Noorazmir Zakaria berkata, susulan perkara itu, perintah mahkamah boleh diperoleh bagi merobohkan binaan yang dibina tanpa kebenaran.
"Undang-undang tanah di Malaysia mengguna pakai sistem torren di mana pemilik berdaftar sesuatu hartanah mempunyai hak milik mutlak ke atas pemilikan hartanahnya.
"Jika wujud sebarang dakwaan di pihak penceroboh bahawa wujud lesen atau kebenaran secara langsung atau tidak langsung daripada pemilik tanah, maka penceroboh tersebut boleh menuntut di mahkamah wang yang dikeluarkan bagi tujuan pembinaan sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Namun, jelasnya, ia perlu melalui saringan pembuktian yang ketat.
"Jika tiada bukti, penceroboh sebenar harus membayar ganti rugi kepada pemilik tanah atas kerugian yang ditanggung akibat tidak memperoleh manfaat daripada hartanah tersebut kerana tindakan pencerobohan.
"Bukan itu sahaja, pemilik tanah juga boleh memohon perintah injunksi atau tegahan daripada mahkamah bagi menghalang penceroboh daripada terus memasuki atau mengganggu hartanah berkenaan.
"Setelah perintah tegahan ini diperoleh, satu tindakan menghina mahkamah boleh dikenakan ke atas pihak penceroboh jika masih ingkar mematuhi perintah yang dikeluarkan mahkamah,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi peguam, M Hafiz Zainol Abidin berkata, pemilik tanah perlu cakna sekiranya terdapat pencerobohan terhadap tanah milik mereka.
Katanya, sekiranya perkara seperti itu dapat diatasi di peringkat awal ia akan menyenangkan banyak pihak yang terlibat.
"Contohnya sekiranya baharu sahaja tanah pemilik diceroboh, mungkin dengan hanya mengeluarkan surat amaran atau memberikan amaran kepada penceroboh mencukupi tanpa perlu mendapatkan apa-apa perintah di mahkamah.
"Untuk mengelakkan pencerobohan, pemilik tanah boleh memagar tanah dan juga meletakkan papan tanda pemberitahuan berkenaan dengan pemilikan hartanah tersebut.
"Untuk makluman di sini, Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 memperuntukkan mana-mana orang tanpa kebenaran yang sah menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas, mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan adalah melakukan suatu kesalahan. Boleh, jika disabitkan dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi satu tahun,” tambah M Hafiz.