SHAH ALAM - Menyaksikan rakan sepasukan rebah selepas ditembak penjenayah ketika laksana tugas menjadi kenangan pilu yang tidak dapat dilupakan.
Berkongsi kisah sedih itu, bekas pegawai kanan polis, Senior Asisten Komisioner (B) Beh Eng Lai berkata, tragedi pada tahun 1998 itu berlaku semasa polis melakukan serbuan di kebun kelapa sawit di Pulau Pinang.
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada jam 9 malam, hari ketiga sambutan Tahun Baharu Cina.


"Saya bersama Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Superintenden Osman Bakar yang ketika itu mengetuai serbuan kegiatan perjudian di lokasi berkenaan.
"Ketika pasukan polis hendak bertindak, tiba-tiba datang sebuah motosikal dinaiki dua lelaki warga tempatan bersenjatakan pistol mengacukan pistol terhadap sekumpulan individu yang sedang leka berjudi di dalam sebuah khemah.
"Pemain-pemain judi itu kemudian bertempiaran lari sebelum perompak itu melepaskan beberapa das tembakan dan terkena seorang mangsa,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Kedua-dua penjenayah itu kemudian mengambil wang pertaruhan di atas meja sebelum cuba melarikan diri.
"Kita terus menjerit 'Polis jangan lari!', kemudian berlaku insiden tembak-menembak dan dua penjenayah itu berjaya ditembak mati.
"Lebih menyayat hati apabila salah seorang anggota polis terkorban kerana terkena tembakan di kepala,” katanya.
Rampasan dadah, senjata api dan bom tangan
Menceritakan pengalamannya sepanjang 37 tahun empat bulan berkhidmat dalam pasukan Sang Saka Biru, beliau berkata, terdapat penemuan dadah jenis ganja seberat 400 kilogram, pelbagai senjata api dan 20 butir bom tangan.
Penemuan itu hasil serbuan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sebuah rumah teres dua tingkat di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, pada tahun 2000.
Beliau yang ketika itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan telah melancarkan operasi memburu suspek dengan bantuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan JSJN IPK Pulau Pinang.
"Seorang wanita berjaya ditahan di dalam rumah, manakala dua suspek utama telah melarikan diri ke atas bumbung dan bersembunyi di tangki air rumah jiran.
"Kedua-dua lelaki itu enggan menyerah diri walaupun banyak kali kita beri amaran," katanya.
Eng Lai memberitahu, beliau telah meminta bantuan Pasukan Gerakan Khas di Ipoh, Perak untuk menangkap suspek setelah mempertimbangkan risiko terhadap keselamatan pasukan.
"Pasukan Gerakan Khas telah membaling bom asap untuk memaksa suspek menyerah diri.
"Operasi mengambil masa hampir 16 jam itu akhirnya berjaya memberkas kedua-dua penjenayah dan mereka telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan beberapa kesalahan di bawah peruntukan Akta Senjata 1960 dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” ujarnya.
Mengulas lanjut, kata anak jati Taiping itu, antara insiden berdarah yang tidak boleh dilupakannya ialah kes pembunuhan seorang peniaga di Skudai, Johor Bahru pada tahun 2015, melibatkan wang tebusan RM50,000.
Beliau yang ketika itu merupakan Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara berkata, mangsa berusia 22 tahun telah dikurung di sebuah rumah dan dipaksa membayar hutang berkaitan penjualan dadah.
"Akibat gagal dalam perbincangan, mangsa maut ditikam suspek dan mayatnya dicampak di ladang kelapa sawit serta dibakar,” ujarnya.
Menurutnya, seramai 14 orang berusia dalam lingkungan 14 tahun hingga 45 tahun disyaki terlibat dalam kes itu telah ditangkap dengan bantuan Bahagian D8 (Operasi Khas) dan Bahagian D9 JSJ Bukit Aman.
"Kita juga berjaya merampas tiga pucuk pistol hasil pendedahan daripada suspek yang ditahan,” ujarnya.
Sindiket Amerika Latin tersungkur
Kata beliau, antara kejayaan besar dikecapinya sepanjang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah tumpasnya sindiket rompakan luar bank dengan tertangkapnya empat penjenayah warga Amerika Latin pada 3 September 2021.
"Kita berjaya memberkas dua lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga 60 tahun.
"Sindiket itu menggunakan dua kaedah modus operandi antaranya mengekori mangsa yang telah mengeluarkan wang daripada bank hingga ke kereta.
"Selepas mangsa masuk ke dalam kereta, suspek akan berpura-pura menaburkan beberapa keping wang di luar pintu kenderaan sambil menunjukkan isyarat tangan bahawa kononnya wang mangsa terjatuh di atas jalan,” katanya.
Tambahnya, suspek juga akan memancitkan tayar belakang kereta mangsa dengan menggunakan paku.
"Mangsa yang membuka pintu kenderaan selepas melihat isyarat suspek kemudian terus dirompak,” ujarnya.
Jelasnya, kumpulan itu telah mengakibatkan kerugian RM400,000 dalam tempoh sebulan membabitkan tiga kes di Jinjang dan Kepong.
Eng Lai yang ketika itu merupakan Ketua Polis Daerah Sentul telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menangani masalah tersebut termasuklah mengesan pergerakan suspek dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Beberapa hari kemudian, pihak polis berjaya mengesan kenderaan yang disewa dan digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah.
"Operasi memburu suspek hampir sebulan dan dalam tempoh tersebut, suspek telah tiga kali mencari sasaran tetapi tidak berjaya.
"Pada kali keempat, suspek telah berjaya memancitkan kereta mangsa dan apabila mangsa berhenti untuk melihat keadaan tayar, suspek telah membuka pintu mangsa dan melarikan wang keluaran bank mangsa berjumlah RM194,000,” ujarnya.
Menurutnya, pasukan khas yang ditubuhkan telah mengekori kereta suspek sebelum disekat di Brickfields.
"Suspek bertindak agresif dan cuba melanggar anggota operasi sehingga kita terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta tersebut.
"Akhirnya kesemua suspek berjaya diberkas, kita turut menemui kembali wang rompakan tersebut, selain merampas beberapa set rambut palsu yang digunakan oleh suspek ketika melakukan jenayah,” ujarnya.
Beliau berkata, kesemua mereka kemudiannya dituduh atas kesalahan merompak dan cubaan membunuh.
"Pengarah JSJ Bukit Aman ketika itu, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan dalam kenyataan media telah menyatakan dengan tertangkapnya sindiket ini, pihak polis berjaya menyelesaikan 25 kes rompakan luar bank,” ujarnya.
Semasa diamanahkan sebagai Ketua Polis Daerah Sentul, katanya lagi, berlaku insiden letupan bunga api dan mercun semasa proses pelupusan di stor barang kes di Sentul, 26 April 2022.
Menurut Eng Lai, beliau sebelum itu berada di lokasi untuk sesi sidang akhbar pelupusan barang kes berkenaan.
"Pada jam 6.15 petang, saya terima makluman berkaitan bunga api yang hendak dilupuskan itu telah terbakar dan meletup atas faktor cuaca.
"Mujur tiada sesiapa yang parah akibat letupan tersebut, hanya tiga pekerja pembersihan mengalami cedera ringan di belakang badan kerana terjatuh ketika melarikan diri,” katanya.
Dorongan bapa sertai polis
Eng Lai berkata, dua faktor utama yang mendorongnya menyertai pasukan Sang Saka Biru iaitu sokongan daripada bapa yang melihat potensi dalam bidang kepolisan selain meminati pasukan beruniform selepas menjadi ahli Persatuan Pengakap di sekolah.
"Minat itu berkembang menjadi aspirasi untuk berbakti kepada negara dan memastikan keselamatan rakyat terjamin.
"Saya mula berkhidmat dalam PDRM pada 4 September 1986 dan menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur sebagai Inspektor Percubaan.
"Setelah tamat latihan, saya bertugas sebagai Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah, Kelantan, selama enam tahun bermula 1987,” katanya.
Pada tahun 2023, beliau diberi kepercayaan menerajui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Kuala Lumpur.
"Langkah utama yang diambil ialah memastikan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) melaksanakan tugas secara menyeluruh bagi mengurangkan tahap ketakutan masyarakat terhadap jenayah,” katanya.
Selain itu, jelas beliau, pihaknya turut memantapkan perkhidmatan Unit Polis Pelancong dengan penyediaan kursus komunikasi bahasa Inggeris supaya mereka dapat mahir berinteraksi dengan para pelancong asing.
"Secara keseluruhan, imej pasukan polis 'frontliners' Kuala Lumpur telah berjaya ditingkatkan untuk berkhidmat dengan lebih profesional dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, peranan JPJKK antaranya mencegah jenayah iaitu memperkasakan rondaan polis melalui unit MPV, URB, Bit Rondaan.
"Kita memberi fokus rondaan dan ‘omnipresence’ di kawasan tumpuan orang ramai serta tempat kerap berlaku jenayah,” katanya.
Eng Lai berkata, pihaknya juga memberi ceramah dan dialog pencegahan jenayah di sekolah, pusat pengajian tinggi, agensi awam serta swasta untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat.
"Kita mahu mendidik dan membudayakan masyarakat tentang rasa tanggungjawab mencegah jenayah,” katanya.
Eng Lai berkata, visi dan misi PDRM sudah cukup jelas dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
"Saya telah menggariskan enam prinsip untuk mencapai visi dan misi pasukan PDRM iaitu berdisiplin, komited, bertanggungjawab, berilmu pengetahuan, semangat setia kawan (spirit de corps) dan menjaga kebersihan,” katanya.
Ujar bapa kepada tiga anak ini, kejayaan PDRM tidak akan lengkap tanpa sokongan masyarakat.
"Moto 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada' dipegang teguh sebagai asas kepada sistem kepolisan moden dan orang ramai disarankan untuk membantu polis dalam membanteras jenayah.
"Sikap keprihatinan serta kesedaran untuk melaporkan aktiviti jenayah sangat membantu dalam usaha memastikan keselamatan komuniti,” tambahnya.