SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan musuh ketatnya, UMNO demi mencapai matlamat perjuangan politik.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tiada sebab bagi UMNO dan Bersatu untuk terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang menegaskan, asas matlamat perjuangan yang sama sepatutnya membolehkan Bersatu dan UMNO duduk semeja.
"Kalau perjuangan itu sama, mengapa perlu adanya dua parti?
"Justeru, pemimpin juga perlu membuang ego dan mengukuhkan prinsip berterus terang demi kepentingan negara," katanya.
Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian ketika menjadi tetamu siri audio siar Keluar Sekejap dihoskan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO,Shahril Sufian Hamdan pada Jumaat.


Dalam perkembangan lain, Hamzah mendakwa pencapaian Kerajaan Madani yang sering digembar-gemburkan di media massa dan media sosial lebih bersifat drama semata-mata.
Menurutnya, angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenar adalah 5.1 peratus dan bukanlah 5.9 peratus seperti yang dilaporkan dalam Titah Diraja.
Ketika disoal Khairy Jamaluddin tentang Pelaburan Langsung Asing (FDI), Hamzah berkata, pasaran saham yang kononnya kukuh adalah daripada pembelian oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bukannya pelabur asing.
Berikutan itu, Hamzah menggesa kerajaan agar lebih telus dalam melaporkan data ekonomi dan memastikan dasar yang lebih berkesan bagi menarik pelaburan berkualiti serta meningkatkan kecairan pasaran ekuiti negara.
"Apabila pembangkang tegur semua tidak betul.
"Apa salahnya sebagai seorang pemimpin (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) kita menerima teguran untuk memperbaiki pelbagai kelemahan (dalam tadbir urus kerajaan). Ini semua yang kita sebut tidak betul," katanya.