PENYERANG Liverpool, Darwin Nunez berpeluang melupakan sementara kemelut prestasi di Anfield sebaliknya fokus cabaran bersama Uruguay.
Liverpool melalui tempoh sukar, tersingkir dari Liga Juara-Juara apabila tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG) dan kalah di final Piala Liga kepada Newcastle United.
Malah, Nunez yang hanya beraksi sebagai pemain gantian pula gagal memberi impak signifikan kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.
Musim ini, Nunez hanya menjaringkan tujuh gol dalam 41 penampilan, dengan prestasi tidak konsisten dan kurangnya peluang beraksi dalam kesebelasan utama mencetuskan spekulasi perpindahan.
Kini, Nunez bersemangat untuk menyertai skuad kebangsaannya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan menentang Argentina dan Bolivia.
Setibanya di Uruguay, Nunez meluahkan kekecewaannya kepada media tempatan, mengakui setiap percubaannya seolah-olah enggan menerjah jaring.
Biarpun begitu, Nunez menegaskan komitmennya untuk memperbaiki prestasi, walaupun tidak selalu menjadi pilihan utama Arne Slot.
"Saya gembira bersama pasukan kebangsaan, menikmati setiap minit. Ini adalah lumrah dalam bola sepak.
"Saya bukan jenis yang mudah mengalah. Saya akan terus bekerja keras untuk mendapat tempat," katanya.
Dia mengakui prestasinya merosot berkata:"Saya tahu tidak beraksi sebaik sepatutnya. Sukar apabila anda beraksi baik, seperti ketika menentang PSG, keyakinan berubah. Tetapi kemudian, anda jatuh. Saya sentiasa bersedia membantu rakan sepasukan."
Kegagalan Nunez menyempurnakan sepakan penalti menentang PSG menimbulkan persoalan mengenai prestasi di Liverpool.
Slot lebih gemar menurunkan Diogo Jota di posisi penyerang tengah, menyebabkan Nunez hanya lapan kali beraksi sebagai kesebelasan utama di liga.
Slot pernah mengkritik prestasi Nunez, terutama selepas perlawanan menentang Wolves dan Aston Villa.
Namun, dia memuji Nunez selepas membantu gol Harvey Elliott menentang PSG, menyifatkannya kembali menjadi Darwin yang biasa.
Nunez berhasrat untuk menampilkan prestasi terbaik bersama Uruguay sebelum kembali ke Merseyside.
Liverpool, yang kini 12 mata mengatasi pencabar terdekat Arsenal, akan mengharungi Derbi Merseyside menentang Everton pada 2 April, diikuti Fulham empat hari kemudian.