Mangsa banjir di Johor, Sarawak terus meningkat pagi ini

Iklan
Keadaan rumah dan jalan raya yang ditenggelami air akibat banjir di Kampung Pasir Tebrau. Foto Bernama Keadaan rumah dan jalan raya yang ditenggelami air akibat banjir di Kampung Pasir Tebrau. Foto Bernama
Keadaan rumah dan jalan raya yang ditenggelami air akibat banjir di Kampung Pasir Tebrau. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Sarawak terus meningkat setakat 8 pagi ini, manakala di Sabah masih kekal.

Di JOHOR, Batu Pahat menjadi daerah terbaharu dilanda banjir, menjadikan jumlah mangsa di negeri itu meningkat kepada 13,089 orang setakat jam 8 pagi ini, berbanding 11,776 orang semalam.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan, kesemua mangsa daripada 3,749 keluarga itu berlindung di 95 PPS yang beroperasi di enam daerah terjejas.

"Daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 5,402 orang, diikuti Kluang (2,458), Pontian (1,782), Kota Tinggi (1,690), Kulai (1,531) dan Batu Pahat pula 226 orang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Selain itu, beliau berkata, tiga sungai dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu stesen Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat dengan bacaan 6.26 meter (m), Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.57m) dan Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai, Pontian (3.25m).

Azmi berkata, dua jalan di Kota Tinggi iaitu Jalan Lukut Cina (Taman Aman) dan Jalan Mawai Lama (sebelum Rumah Burung) serta Jalan Jabi Bukit Tempurung, Segamat masih ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat dinaiki air.

Iklan

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 969 orang setakat 8 pagi hari ini, berbanding 435 orang petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan sebuah lagi PPS dibuka di Sibu, menjadikan jumlah mangsa keseluruhan di daerah itu seramai 352 orang, manakala 617 mangsa dipindahkan di daerah Kapit.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir kekal sebanyak 379 orang daripada 124 keluarga yang masih berada di lapan PPS setakat jam 8 pagi hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan PPS berkenaan dibuka di enam daerah iaitu Beluran, Sandakan, Paitan, Pitas, Keningau dan Sipitang. - Bernama