IMPIAN pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Switzerland Super 300 tidak kesampaian apabila terhenti dalam aksi suku akhir di St. Jakobshalle, Basel.
Soon Huat-Shevon Lai, yang juga pilihan utama kejohanan, tewas kepada pilihan kelapan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, dalam straight set 18-21, 10-21 dalam masa 34 minit.
Iklan
Iklan
Pada set pertama, Soon Huat-Shevon Lai menampilkan permainan bertenaga, namun Dechapol-Supissara ternyata lebih garang untuk menamatkan permainan dengan 21-18.
Memasuki set kedua, Dechapol-Supissara yang dimotivasikan oleh kemenangan set pertama tidak menoleh ke belakang, terus mendominasi permainan dan mengesahkan kemenangan dengan 21-10.
Dalam edisi 2024, Soon Huat-Shevon Lai mengungguli kejohanan selepas menewaskan rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, 21-16, 21-13 dalam perlawanan akhir.
Sebagai rekod, kejohanan berstatus Super 300 ini menawarkan hadiah keseluruhan AS$250,000 (kira-kira RM1.11 juta).