MILAN, ITALI - Seorang wanita warga emas maut selepas dirempuh kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang sedang belajar menunggang basikal di sebuah taman awam di sini, pada Ahad lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 87 tahun berjalan bersama rakannya sebelum dirempuh kanak-kanak tersebut yang hilang kawalan menyebabkan dia terjatuh dan terhentak kepala ke atas jalan.
Mangsa pada awalnya dilaporkan berada dalam keadaan baik dan enggan mendapatkan rawatan.
Bapa kepada kanak-kanak terbabit yang menyaksikan kejadian bagaimanapun tetap menghubungi ambulans bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Malangnya, keadaan mangsa tiba-tiba merosot sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan.
Siasatan mendapati basikal yang ditunggang kanak-kanak itu tidak dilengkapi roda sokongan dan insiden berlaku ketika dia menunggang pada kelajuan sederhana.
Ekoran kejadian itu, bapa kanak-kanak itu didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat kerana cuai mengawasi anaknya ketika mengendalikan kenderaan yang berpotensi membahayakan orang awam.
Selepas meneliti hujahan, Mahkamah Milan membebaskan tertuduh selepas mendapati insiden berkenaan sukar dijangka dan tiada ruang untuknya mengelak daripada kemalangan tersebut.
Hakim turut memutuskan bahawa kejadian itu berlaku tanpa sebarang kecuaian jelas di pihak tertuduh, selain mengambil kira kawasan taman awam berkenaan sememangnya sering menjadi lokasi penduduk setempat membawa anak-anak belajar berbasikal.
Jika disabitkan kesalahan, lelaki itu berdepan hukuman penjara dan denda pampasan sebanyak RM956,390 atau €200,000 kepada keluarga mangsa. - Agensi