MATHURA – Seorang lelaki berusia 32 tahun di sebuah kampung di Mathura, India nekad melakukan pembedahan ke atas dirinya sendiri selepas bosan dengan kesakitan perut yang berterusan yang dialaminya, lapor Times of India.
Rajababu Kumar bertindak mengurung diri di dalam bilik pada Rabu sebelum menyuntik ubat kebas dan membuat torehan sepanjang tujuh inci di bahagian kanan bawah perutnya dengan berpandukan maklumat daripada internet serta YouTube.
Bagaimanapun, apabila bilah pisau bedah menembusi lebih dalam daripada jangkaannya, kesakitan yang dialami semakin teruk disertai pendarahan yang tidak berhenti.
Rajababu cuba menjahit luka tersebut sendiri, namun dia gagal mengawal pendarahan, lalu segera memaklumkan kepada keluarganya yang kemudian bergegas membawanya ke Hospital Daerah Mathura.
Memandangkan keadaannya yang kritikal, doktor telah memindahkannya ke sebuah pusat perubatan lebih besar di Agra untuk rawatan lanjut. Sehingga Khamis, Rajababu dilaporkan masih dalam keadaan kritikal.
Pegawai Perubatan Hospital Mathura, Shashi Ranjan berkata,"Rajababu membuat torehan sepanjang tujuh sentimeter dengan lebar satu sentimeter di bahagian kanan perutnya,".
Ketua Balai Polis Jait, Ashwini Kumar, mengesahkan pihak hospital telah memaklumkan kepada polis mengenai kejadian itu.
"Lelaki tersebut berada dalam keadaan sedar sepenuhnya sebelum dirujuk ke Agra,” katanya.
Menurut anak saudara Rajababu, lelaki itu yang mengusahakan sebuah dewan majlis di kampungnya sering mengadu mengalami kesakitan di bahagian yang sama selepas menjalani pembedahan apendiks sebelum ini. - Agensi