Tuah beli barangan terpakai, tak sangka lukisan laku hingga RM12,704

Iklan
Lukisan yang dibeli Alcorn (kanan) pada harga RM14 di sebuah kedai terpakai Lukisan yang dibeli Alcorn (kanan) pada harga RM14 di sebuah kedai terpakai
Lukisan yang dibeli Alcorn (kanan) pada harga RM14 di sebuah kedai terpakai

OHIO, AMERIKA SYARIKAT - Seorang wanita tidak menyangka pembelian lukisan berharga RM14 di sebuah kedai barangan terpakai membawa tuah apabila karya seni itu berjaya dilelong pada harga RM12,704 atau A$2,875.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah cawangan Goodwill di Dayton ketika Marissa Alcorn dan tunangnya singgah ke premis berkenaan selepas makan malam.

Iklan
Iklan

Menurut Alcorn, dia pada mulanya tertarik dengan bingkai lukisan berkenaan yang diletakkan di atas troli oleh pekerja kedai sebelum membuat keputusan membelinya walaupun menganggap lukisan itu tidak menarik.

Ketika memasukkan lukisan itu ke dalam kereta, Alcorn menyedari terdapat plak kecil tertera nama pelukis pada bingkai tersebut sebelum melakukan carian di Internet.

Iklan

"Saya dapati ia adalah karya Johann Berthelsen, seorang pelukis terkenal kelahiran Denmark-Amerika yang banyak menghasilkan lukisan bertemakan pemandangan bandar New York. Beliau meninggal dunia pada 1972.

"Pada awalnya, saya menyangkakan lukisan bertajuk ‘Chapel, St. Patrick's Church’ itu mungkin palsu, namun selepas mendapat nasihat sekumpulan peminat seni di Facebook, saya membawa karya tersebut untuk dinilai di rumah lelong Caza Sikes di Cincinnati,” katanya.

Iklan

Hasil pemeriksaan pakar mengesahkan lukisan itu adalah asli sebelum ia dilelong dan berjaya meraih harga belasan ribu ringgit.

Antara karya terkenal Johann Berthelsen ialah St. Patrick's Cathedral, Washington Square Park dan Grand Army Plaza yang menampilkan pemandangan ikonik bandar New York dalam suasana musim sejuk.

Alcorn berkata, wang hasil jualan lukisan itu akan digunakan bagi membiayai majlis perkahwinannya yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

"Saya rasa ini mungkin rezeki sekali seumur hidup. Tidak sangka pembelian sekadar suka-suka membawa pulangan sebesar ini," katanya. - Agensi