AWANG dengar khabar seorang Perdana Menteri baharu akan diumumkan segera. Nampaknya tak tunggu Parlimen bersidang pada 2 Mac ini. Begitu pantasnya orang politik lobi-melobi dan bertindak demi kepentingan mereka dan kelompok mereka.
Awang ucapkan tahniah pada sesiapa pun yang akan jadi PM. Khabarnya bukan Tun Perdana Menteri Interim dan bukan juga Tuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau begitu keadaannya, semua ramalan kita salah selama ini. Macam biasalah, dalam politik memang tak mudah diramal.
Tapi Awang nak ingatkan juga bahawa penyelesaian belum tentu kelihatan. Siapa pun yang dilantik akan berdepan dengan macam-macam dugaan. Tentu banyak pihak yang tak puas hati. Ada suara yang mahukan diadakan pilihan raya umum. Mereka mahukan mandat baharu.
Orang yang tak menyokong orang yang dipilih juga pasti tak puas hati. Mungkin akan ada gerakan rakyat digembleng untuk dapat sokongan. Awang tak terperanjat kalau ada demonstrasi jalanan.
Awang cuma berdoa agar ALLAH lindungi kita semua. Lindungi negara kita. Rakyat nak cari makan, bukan nak hidup dengan politik. Orang politik boleh bertelagah siang malam tapi rakyat jelata nak bawa makan ke rumah, nak sekolahkan anak-anak, nak pergi kerja. Itupun kalau ada kerja lagi.
Awang harap ada pengajaran daripada peristiwa yang menimpa negara kita. Baik sangatlah kalau kita renungkan asal punca semua ini bermula. Kita tahu asalnya, orang nak berkuasa dan nak kekalkan kuasa.
Apakah kuasa PM Interim?
Apabila Tun Mahathir Mohamad umum Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 dua hari lalu, ramai juga yang bertanya, bolehkah seorang Perdana Menteri Interim buat pengumuman sebegitu? Ini soal dasar besar yang babitkan berbilion ringgit.
Secara mudahnya kita dah tak ada kerajaan. Tidak ada menteri dan tidak ada orang yang bertanggungjawab ke atas kewangan negara selain kakitangan kerajaan. Maka itu, bolehkah Tun Perdana Menteri Interim mengumumkan pakej penting seperti itu?
Awang bukan peguam tapi Awang rasa perlu ada SOP dalam soal ini. Sepatutnya ada peraturan yang dah ditetapkan apa yang boleh dan tak boleh dibuat dalam keadaan seperti ini.
Kita semua tahu keperluan pakej itu. Memang patut pun Tun Perdana Menteri Interim buat sesuatu sekarang. Kita semua tahu kesan daripada wabak koronavirus ini besar sekali pada ekonomi dunia termasuk ekonomi kita.
Agaknya amalan selama ini apabila bubar Parlimen untuk pilihan raya umum, mantan menteri masih lagi berlagak menteri. Mereka umum macam-macam projek dan janji gula-gula serta guna kemudahan kerajaan semasa berkempen. Ini amalan sebegitu lama. Salah satu daripada kerja jawatankuasa untuk reformasi SOP pilihan raya memang nak tengok isu ini.
Awang rasa tak adil orang kritik Tun Perdana Menteri Interim dalam soal ini. Beliau memang berhak buat pengumuman itu. Lagipun rancangan itu dah disediakan sebelum kerajaan bubar. Awang rasa dalam soal ini kita lupakanlah politik sekejap.
Mari kita sama-sama sokong untuk selamatkan ekonomi negara.