Pemuda Pas jawab isu 'PASDAP'

Iklan
Hafez ketika menyampaikan ucapan sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PN N.48 Ayer Kuning di sini pada malam Sabtu. Hafez ketika menyampaikan ucapan sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PN N.48 Ayer Kuning di sini pada malam Sabtu.
Hafez ketika menyampaikan ucapan sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PN N.48 Ayer Kuning di sini pada malam Sabtu.

TAPAH – Pemuda Pas menjelaskan parti itu tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangannya ketika bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini tidak seperti UMNO yang bersama Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Hafez Sabri berkata, sebaliknya Pas bertindak memutuskan hubungan apabila DAP melanggar batasan berkaitan Islam dan hak orang Melayu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pas hanya menjalin kerjasama dengan DAP selagi parti itu menghormati prinsip perjuangan Pas dan tidak teragak-agak untuk keluar daripada pakatan tersebut.

"Pas pernah berkawan dengan DAP, itu benar. Tetapi kita tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangan kita.

Iklan

"Apabila DAP mula menyentuh perkara berkaitan Islam, hak Melayu serta kepentingan negara, Pas bertindak tegas memutuskan hubungan," katanya ketika berucap.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN) N.48 Ayer Kuning di sini pada malam Sabtu.

Iklan

Hadir menyempurnakan pelancaran tersebut, Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Afnan Hamimi (tengah) menyempurnakan gimik Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PN N.48 Ayer Kuning di sini pada malam Sabtu.

Hafez berkata, perkara sama turut berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pernah bekerjasama dengan DAP sebelum ini, namun akhirnya mengambil keputusan meninggalkan parti itu atas faktor yang sama.

Menurutnya, berbeza dengan UMNO yang kini bekerjasama dengan DAP, parti itu dilihat tidak berani bertindak keluar daripada kerajaan meskipun banyak dasar yang diperkenalkan merugikan orang Melayu dan Islam.

"UMNO boleh menjerit dan menunjukkan kemarahan mereka terhadap agenda DAP, tetapi hakikatnya DAP tidak rasa terancam sedikit pun.

"Kenapa? Kerana DAP masih melihat kuasa mereka ada dalam kerajaan, selagi UMNO berada dalam kerajaan bersama mereka," katanya yang juga Ketua Pemuda Pas Perak.

Mengulas mengenai PRU16, Hafez berkata, pihaknya sudah mula membuat persiapan bagi memastikan PN mencapai kemenangan lebih besar, khususnya di Perak.

Katanya, pada PRU15 lalu, PN berjaya memenangi 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, dan hanya memerlukan empat lagi kerusi untuk membentuk kerajaan negeri pada PRU akan datang.

"Pada PRU lalu, kita sebenarnya berpeluang membentuk kerajaan, tetapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) memilih DAP untuk bergabung.

"Jika mereka memilih untuk bersama PN ketika itu, kerajaan negeri hari ini pasti berbeza," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan kerajaan negeri Perak yang melantik pegawai khas di setiap DUN pembangkang, sedangkan kawasan itu sudah mempunyai wakil rakyat sah yang dipilih pada PRU lalu.

Katanya, tindakan itu membuktikan kerajaan negeri bimbang dengan kekuatan yang sedang dibina oleh PN, dan ia memberi isyarat jelas bahawa rakyat masih meletakkan kepercayaan kepada pembangkang.

"Kerajaan negeri terpaksa menggunakan dana rakyat untuk membayar pegawai khas di setiap DUN pembangkang kerana mereka tahu PN semakin kuat dan mendapat sokongan rakyat.

"Insya-ALLAH, dengan izin ALLAH, PN akan mencapai kemenangan dalam PRU16, bermula dengan DUN Ayer Kuning," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjelaskan bahawa parti itu mempunyai strategi tersendiri untuk menangkis pelbagai tuduhan yang dibawa pembangkang, termasuk memainkan sentimen UMNO-DAP yang mereka sebut sebagai 'UMDAP'.

Menurutnya, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh menafikan bahawa mereka pernah bekerjasama dengan DAP sebelum ini yang digelar sebagai 'PASDAP' dan 'BERSADAP'.