Nagelsmann gesa Jerman lupakan 'mimpi ngeri' 2006

Iklan
Nagelsmann Nagelsmann
Nagelsmann

PENGENDALI Jerman, Julian Nagelsmann, mahu pasukannya melakar sejarah baharu apabila menentang Itali di Dortmund pada Isnin ini, bagi merebut tempat di separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah, dengan melupakan memori pahit kekalahan separuh akhir Piala Dunia di venue sama.

Pada Piala Dunia 2006, jaringan lewat masa tambahan Fabio Grosso dan Alessandro Del Piero menghadiahkan kemenangan 2-0 kepada Itali, sekali gus menyingkirkan tuan rumah Jerman dari temasya bola sepak berprestij dunia berkenaan.

Iklan
Iklan

Biarpun Jerman mempunyai kelebihan 2-1 menjelang perlawanan timbal balik, selepas memenangi perlawanan pertama di San Siro, Milan, Nagelsmann menegaskan matlamat terakhir gergasi Eropah itu hanya kemenangan.

"Saya masih ingat 2006 dan masih tidak gembira Jerman tidak menang. Tetapi bagi saya, lebih penting untuk bercakap tentang masa kini dan bukan masa lalu.

Iklan

"Kami mahu menulis sejarah kami sendiri. Saya tidak takut dengan kepantasan Itali. Kami berada dalam mood yang baik, kami sedar.

"Dan kami mempunyai penyelesaian yang baik untuk esok dan kemudian penting bagi kami untuk mencipta peluang. Saya harap kami menang," kata jurulatih itu.

Iklan

Sementara itu, Nagelsmann mendedahkan bahawa status penyerang Jonathan Burkardt untuk perlawanan itu diragui akibat sakit.

Nagelsmann

"Dia juga tidak akan berlatih dan kemudian kita akan lihat keadaannya esok. Kami akan membuat beberapa perubahan pada kesebelasan utama," kata bekas pengendali Bayern Munich itu.

Burkardt memulakan permainan pada Khamis lalu tetapi digantikan selepas rehat oleh Tim Kleindienst, yang menjaringkan gol tiga minit selepas masuk, sebelum Leon Goretzka menjaringkan gol untuk membalikkan pendahuluan Itali pada separuh masa pertama.

Nagelsmann menjangkakan perlawanan Isnin ini akan serupa dengan perlawanan pertama.

"Ya, akan ada perubahan taktikal, tetapi saya tidak akan mendedahkannya," tambahnya.

INFO

LIGA NEGARA-NEGARA EROPAH

Suku Akhir Kedua

Jerman (2) lwn (1) Itali, 3.45 pagi

Portugal (0) lwn (1) Denmark, 3.45 pagi

Sepanyol (2) lwn (2) Belanda, 3.45 pagi

Perancis (0) lwn (2) Croatia, 3.45 pagi

* Dalam kurungan keputusan perlawanan pertama