SHAH ALAM - Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan membantu Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Biro Politik Muda berkata, langkah itu memberi peluang kepada rakyat untuk memilih alternatif politik selain dua gabungan utama yang mendominasi politik negara.
"Kehadiran Muda di lapangan bertujuan memastikan kempen ini membawa suara rakyat, menolak politik perkauman dan persaingan golongan elit yang sering membelenggu pilihan pengundi.
"Muda menghormati pendirian PSM dan menyokong usaha memperjuangkan politik berprinsip yang berpaksikan rakyat, khususnya dalam isu kos sara hidup, keadilan sosial, perumahan, alam sekitar dan hak pekerja serta masyarakat terpinggir,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut kenyataan tersebut, Muda turut mengingatkan para pengundi di Ayer Kuning supaya memilih politik yang berprinsip dan membawa perubahan sebenar.
"Sebagai tanda sokongan terhadap politik alternatif, Muda akan mula bekerja bersama PSM di bilik gerakan PRK Ayer Kuning dalam masa terdekat.
"Muda komited untuk terus bekerjasama dengan parti politik yang berkongsi aspirasi membina politik baharu yang lebih adil, progresif, dan berintegriti,” ujarnya.