KLANG - Gara-gara mengeluarkan kata-kata tidak sopan ketika menegur pemandu kenderaan tanpa pelekat, seorang pengawal keselamatan ditampar dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Bayu Perdana, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku ketika mangsa yang merupakan seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun sedang bertugas di pos keselamatan pangsapuri terbabit.
Menurutnya, insiden tercetus apabila dua lelaki menaiki sebuah Toyota Vios cuba memasuki kawasan pangsapuri berkenaan namun dihalang kerana kenderaan mereka tidak mempunyai pelekat penghuni.
"Siasatan mendapati kedua-dua individu itu bukan penduduk di pangsapuri itu dan memaklumkan mereka datang untuk mengambil sepupu untuk dihantar ke lapangan terbang.
"Pertengkaran kemudiannya berlaku antara mereka sebelum salah seorang individu terbabit bertindak menampar pengawal keselamatan itu," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, pihak polis telah menemubual kedua-dua individu berkenaan dan mendapati kejadian berlaku selepas pengadu dikatakan menggunakan kata-kata yang kasar dan tidak sopan.
"Selepas perbincangan lanjut, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini tanpa membabitkan peringkat mahkamah," katanya.
Dalam pada itu, Hoong Fong menasihatkan orang awam agar tidak menyebarkan rakaman CCTV kejadian yang kini tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.