SUNGAI BULOH - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperuntukkan hampir RM1 juta bagi inisiatif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk bantuan sempena bulan Ramadan di seluruh negara.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, antara bantuan yang disalurkan pada bulan Ramadan menerusi program 'CoopCare Rezeki Ramadan' adalah mengagihkan bakul makanan kepada golongan memerlukan, menyediakan juadah berbuka puasa kepada pengamal media serta menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid.
Menurutnya, walaupun tidak banyak namun sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban mereka memandangkan kos sara hidup kini semakin meningkat.
"Misalnya pada hari ini (Ahad), Angkasa mengagihkan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung kepada 50 penduduk di sekitar Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh.
"Mereka yang menerima bantuan tersebut terdiri daripada golongan asnaf, keluarga berpendapatan rendah (B40) serta anak-anak yatim.
"Ini merupakan program kali ke-32 anjuran Angkasa. Sebenarnya kita juga ada edar bungkusan juadah berbuka kepada rakan media dan anjur majlis berbuka puasa di 16 masjid di seluruh negara," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bakul makanan kepada 50 penerima pada majlis 'Projek kotak Syawal' anjuran Kelab Sukan Kebajikan Sosial dan Edukasi Sungai Buloh (Sukses) dan Angkasa sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi Angkasa Negeri Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah dan Penaung Kelab Sukses Sg Buloh, Datuk Megat Firdouz Megat Junid.
Tambah Abdul Fattah, program tahunan itu bukan sekadar menyantuni mereka kurang bernasib baik tetapi mendedahkan orang ramai mengenai kepentingan koperasi dalam pembangunan sesebuah komuniti.
"Sangat baik sekiranya komuniti boleh menubuhkan koperasi untuk menjalankan perniagaan dan seterusnya menjana keuntungan yang dapat digunakan bagi membantu anggota dalam situasi yang tidak terjangka seperti bencana atau kesulitan ekonomi.
"Sebagai badan puncak, Angkasa sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat dalam menubuhkan koperasi dan membimbing ke arah kejayaan perniagaan yang mampan.
"Kita mahu melihat lebih banyak koperasi yang dapat berfungsi sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah yang dihadapi masyarakat," katanya.