Bunyi bising, rupanya anak terbabit kemalangan maut

Iklan
Jamilah menunjukkan gambar kenangan anaknya, Muhammad Syabil Hakimi. Jamilah menunjukkan gambar kenangan anaknya, Muhammad Syabil Hakimi.
Jamilah menunjukkan gambar kenangan anaknya, Muhammad Syabil Hakimi.

MELAKA - Seorang suri rumah tidak menyangka bunyi bising dari arah jalan raya berdekatan rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Putat di sini, rupanya kemalangan yang meragut nyawa anak sulungnya.

Suri rumah, Jamilah Kamaldin, 48, berkata, ketika itu dia berada di rumah menunggu kepulangan Muhammad Syabil Hakimi Mohamad Subar, 27, dari tempat kerjanya di Pasar Raya Aeon Ayer Keroh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebiasaan dalam jam 10 hingga 10.30 malam anaknya telah pulang ke rumah, namun malam kejadian dia berasa pelik apabila arwah masih tidak pulang dan cuba menghubungi telefon bimbitnya namun gagal.

Katanya, apabila arwah masih belum pulang, ditambah pula dengan bunyi bising tidak jauh dari rumah, membuatkan dirinya tidak sedap hati, lalu menghubungi suami yang sedang bekerja untuk segera pulang dan memaklumkan bunyi bising itu.

Iklan
Jamilah (tengah) menunggu proses bedah siasat anak sulungnya di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, di Melaka, pada Ahad. Jamilah (tengah) menunggu proses bedah siasat anak sulungnya di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, di Melaka, pada Ahad.
Jamilah (tengah) menunggu proses bedah siasat anak sulungnya di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, di Melaka, pada Ahad.

"Saya juga beritahu suami bunyi bising berdekatan rumah kerana jalan raya itu sering berlaku kes kemalangan.

"Tapi tak lama selepas itu, kawan arwah telefon dan minta kesahihan mengenai kemalangan maut yang menimpa anak saya," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, di sini, pada Ahad.

Iklan

Tambahnya, suaminya juga pergi ke lokasi kemalangan namun mayat arwah telah dibawa ke forensik.

"Ketika itu saya tak syak apa-apa sebab fikir dia mungkin dia tak dapat cuti dan perlu bekerja pada hari raya.

"Lagipun sejak bekerja dengan pasar raya itu pada tahun 2018, kebiasaan satu Syawal dia tak bercuti, tapi rupanya dia betul-betul tak beraya dengan kami bukan sahaja pada tahun ini, tapi selamanya," katanya lagi.

Jamilah berkata, arwah yang merancang bertunang pada tahun ini, disifatkan seorang anak yang bertanggungjawab malah ringan tangan termasuk membantu tiga adiknya yang masih belajar berusia 26, 22 dan 17 tahun.

"Dia pun sering bergurau dan menyakat adik-adiknya cuma sejak akhir-akhir ini dia lebih kerap bergurau.

"Walaupun sedih namun kami reda dengan ujian ini, dan perginya dia pada bulan Ramadan," katanya.

Jenazah Allahyarham Muhammad Syabil Hakimi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pondok Batang Nyalas, Jasin.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang pembantu jualan sebuah pasar raya maut dalam perjalanan pulang ke rumah selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang keluar dari simpang di Jalan Sungai Putat, di sini, pada malam Sabtu.

Dalam kejadian jam 11.10 malam itu mangsa menunggang motosikal Yamaha MT-25 maut tercampak di atas MPV Toyota Vellfire itu dan lebih memilukan nahas berlaku kira-kira 650 meter dari jarak rumah mangsa.