GMS perkukuh sekuriti makanan Selangor

Iklan
Amirudin (tengah) bersama tetamu melancarkan GMS di Tiong Nam Pelabuhan Klang pada Sabtu. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID-SINAR HARIAN Amirudin (tengah) bersama tetamu melancarkan GMS di Tiong Nam Pelabuhan Klang pada Sabtu. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID-SINAR HARIAN
Amirudin (tengah) bersama tetamu melancarkan GMS di Tiong Nam Pelabuhan Klang pada Sabtu. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID-SINAR HARIAN

PELABUHAN KLANG - Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Gudang Makanan Selangor (GMS), inisiatif strategik bertujuan memperkukuh rantaian bekalan makanan serta memastikan kestabilan harga bahan makanan bagi rakyat negeri ini.

Pelaksanaan gudang ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan keselamatan makanan dan memperbaiki sistem bekalan agar harga keperluan harian kekal berpatutan.

Iklan
Iklan

Langkah dilaksanakan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) ini turut diambil bagi menangani sebarang gangguan dalam rantaian bekalan makanan akibat ketidaktentuan ekonomi global, perubahan cuaca serta bencana alam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penubuhan GMS ini akan memberikan manfaat besar kepada rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40, dengan memastikan mereka mempunyai akses kepada makanan berkualiti pada harga yang lebih stabil.

Iklan

"Hari ini kita memulakan dengan satu juta kilogram (kg) bersamaan 1,000 tan untuk bekalan protein iaitu daging serta kita juga mempunyai 5,000 tan beras untuk keperluan masyarakat.

"GMS ini bukan sekadar sebuah pusat penyimpanan, tetapi ia berfungsi sebagai penghubung strategik dalam rantaian bekalan makanan yang mampan dan efisien.

Iklan

"Ini adalah sebahagian daripada pendekatan holistik kita dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga bahan makanan yang mendadak," ujarnya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis pelancaran GMS dan pengagihan daging kepada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Gudang Tiong Nam Logistics, Pelabuhan Klang.

Turut hadir pada majlis ini ialah Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim serta beberapa pemimpin negeri yang lain.

Dalam pada itu, pelancaran gudang ini juga diharap dapat menjadi model kepada negeri-negeri lain dalam memperkukuh bekalan makanan demi kesejahteraan rakyat Selangor dan Malaysia amnya.

Menurut Amirudin, inisiatif itu bukan sahaja bertindak sebagai penyelesaian jangka pendek tetapi juga sebagai persediaan jangka panjang bagi menghadapi sebarang cabaran ekonomi dan sosial yang mungkin timbul pada masa hadapan.

"Pelancaran GMS ini merupakan bukti komitmen kerajaan negeri dalam menjadikan Selangor sebagai peneraju dalam sekuriti makanan negara.

"Kita mahu memastikan rakyat Selangor tidak hanya bergantung kepada bekalan luar, tetapi mempunyai sumber makanan yang lebih stabil dan mudah diakses pada harga berpatutan," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif itu sejajar dengan agenda kerajaan negeri dalam menarik pelaburan berkualiti dalam sektor agro-makanan, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada import makanan yang sering terdedah kepada turun naik harga di peringkat global.

Langkah strategik

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Gs Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, pelaksanaan GMS adalah hasil keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan rakyat, terutamanya ketika berhadapan dengan krisis seperti bencana alam, penularan wabak dan gangguan bekalan makanan global.

Mohamad Khairil berucap pada Majlis Pelancaran Gudang Makanan Selangor (GMS) di Tiong Nam Pelabuhan Klang pada Sabtu. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID-SINAR HARIAN

Menurutnya, melalui GMS, kerajaan negeri telah berjaya mengumpulkan stok penimbal beras putih Ehsan sebanyak 5,000 tan metrik serta 1 juta kg daging sejuk beku bagi memastikan rakyat Selangor tidak mengalami kesukaran mendapatkan bekalan makanan asas sekiranya berlaku kenaikan harga atau kekurangan stok.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejak tahun 2022, kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih RM90 juta bagi pelaksanaan Jualan Ehsan Rahmah (JER) dan GMS, termasuk sumbangan daripada Kerajaan Negeri Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta dana dalaman PKPS sendiri.

"Setakat ini, kami telah melaksanakan pelbagai langkah strategik untuk memastikan gudang ini berfungsi dengan baik, termasuk bekerjasama dengan sektor swasta dalam memastikan sistem logistik dan penghantaran makanan ke pasaran lebih efisien.

"Kami juga menggunakan sistem pengurusan inventori berasaskan teknologi pintar bagi memastikan penyimpanan dan pengagihan makanan dapat dilakukan dengan lebih cekap," ujarnya.

Harga lebih rendah

Beliau turut menjelaskan bahawa bekalan makanan daripada gudang ini akan disalurkan terus ke rangkaian Ehsan Mart dan program Jualan Ehsan Rahmah, yang membolehkan rakyat Selangor mendapatkan barangan makanan dengan harga 15 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Gudang ini juga akan berfungsi sebagai pusat penyimpanan pelbagai produk makanan termasuk beras, minyak masak, ayam, daging, serta barangan kering, bagi memastikan bekalan makanan di Selangor sentiasa mencukupi.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, pelancaran GMS dapat menjamin bekalan makanan negeri mencukupi, manakala program pemberian daging dapat meringankan beban keluarga kurang berkemampuan.

"Usaha kerajaan negeri menerusi PKPS ini dapat memastikan barang keperluan sentiasa ada dan jaminan harga berpatutan untuk rakyat Selangor," tambahnya.

Dengan pelaksanaan inisiatif ini, Selangor kini berada di landasan yang lebih kukuh dalam memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi, sekali gus mengurangkan impak kenaikan harga yang sering membebankan rakyat.