KULAI - Beberapa penduduk yang dibenarkan pulang ke rumah selepas beberapa hari berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) mengakui tidak lena tidur sekiranya hujan pada sebelah berikutan risau banjir berulang lagi.
Menurut Nor Hamizah Saidin, 37, walaupun masih terkesan dengan keadaan banjir pada Khamis lalu hingga menyebabkan banyak barang rumah rosak, dia perlu bersiap sedia berdepan kemungkinan situasi sama berulang dalam masa terdekat.
"Sebelum ini pada Januari lalu, rumah kami dinaiki air. Kali ini, saya dan suami Asnawi Ramli, 34, diuji lagi dengan banjir menjelang raya.


"Cumanya kali ini, kami sekeluarga ada buat persiapan awal dengan memindahkan barang ke tempat tinggi. Saya sempat letak baju raya anak-anak di atas rak paling tinggi dan tidak terkena banjir.
"Bagaimanapun, tidak banyak yang dapat diselamatkan kerana air naik begitu cepat kerana kedudukan rumah hanya 200 meter dari anak sungai," katanya ketika ditemui di Kampung Melayu Bukit Batu.
Jelasnya, walaupun sedih mengenangkan terpaksa menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit, namun dia reda dengan ketentuan ALLAH.
"Selepas dibenarkan pulang dari PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, kami segera membersihkan rumah berlumpur dan banyak rosak terpaksa dibuang.
"Setakat ini, rumah masih belum dibersihkan keseluruhannya kerana banjir akan berulang.
"Saya dan penduduk kampung berharap banjir akan datang tidak sebesar sebelum ini kerana bimbangkan keselamatan anak-anak," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hapidah Wahab, 49, berkata dia bersama empat anak terpaksa dipindahkan ke PPS selepas air naik mendadak pada petang Khamis.
"Kami pindah ke PPS sekitar jam 2 petang pada Khamis. Air naik deras, jalan rumah dah putus. Nasib baik polis datang dengan trak, kalau tak susah nak keluar.
"Hujan lebat sejak Rabu menyebabkan kawasan rumah dinaiki air. Persiapan raya tahun ini memang sederhana saja, saya sudah beli baju raya dan sikit kuih raya, tetapi tidak sempat diselamatkan," katanya.