JEMPOL - Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin belum membuat keputusan untuk bertanding jawatan naib presiden pada Pemilihan PKR 2025.
Menurutnya, terdapat permintaan daripada pelbagai pihak meminta beliau untuk kembali bertanding merebut jawatan itu dan hal tersebut sedang dalam pertimbangan.
"Pada pemilihan lepas saya menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden dan daripada jumlah yang bertanding, saya telah menduduki tempat kelima.
"Mengikut perlembagaan parti, empat yang undian tertinggi secara automatik menjadi naib presiden, jadi sebelum ini saya terlepas menyandang jawatan itu.
"Disebabkan itu, ada permintaan untuk saya kembali menawarkan diri bertanding jawatan itu," katanya mengulas desas-desus beliau akan bertanding jawatan berkenaan.
Beliau ditemui pada Kursus Kepimpinan dan Pengenalan Calon PKR Jempol dan Majlis Berbuka Puasa di sebuah hotel di Bahau pada Sabtu.
Tambah beliau, ketika ini menumpukan Pemilihan Peringkat Cabang dan dijangka memuktamadkan status bertanding Pemilihan Pusat selepas Aidilfitri.
"Selepas raya saya akan umumkan adakah saya bertanding naib presiden atau sebarang jawatan lain peringkat Pusat.
"Perbincangan mengenai perkara itu telah ada, ramai rakan peringkat Pusat dan negeri telah berjumpa meminta saya kembali, tapi secara jujur dan ikhlas saya belum lagi membuat keputusan.
"Saya akan bertanding cuma jawatan belum pasti sama ada naib presiden atau MPP (Majlis Pimpinan Pusat), tapi yang pasti bukan kerusi presiden atau timbalan presiden," selorohnya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Cabang Jempol untuk memberi suntikan kepimpinan baharu selain membantu kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan mempertahankan pentadbiran di negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berpandangan jawatan selaku Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR bukan medium untuknya menyalah guna kuasa sebaliknya akan bersaing secara sihat dan adil.
"PKR merupakan parti demokrasi yang setiap pencabar ada peluang dan ruang sama. Saya tak akan menggunakan portfolio yang ada untuk mengambil atau meminta undi.
"Saya ke sini sebagai anggota biasa dan ahli baru di Jempol, jadi saya tawarkan idea dan beberapa inisiatif baru yang akan dilaksanakan di sini," katanya.
Beliau turut menasihatkan calon untuk bertanding secara sihat serta tidak menggunakan serangan peribadi atau mengaibkan mana-mana individu untuk berkempen sebaliknya perlu bersaing atas semangat kekeluargaan.
"Ini merupakan pemilihan cabang dan selepas itu perlu kembali dalam sebuah kapal yang akan menerajui PRU dalam masa dua atau tiga tahun lagi.
"Nasihat saya adalah berkempen secara beretika, jujur dan ikhlas serta berhemah.
"Saranan ini bukan hanya di Jempol tetapi di semua kawasan yang akan bertanding, anggaplah ini pandangan daripada pemimpin Pusat," katanya.