Isu perpindahan kuil: Semua pihak perlu jaga sensitiviti kaum

Iklan
Zulkifli Hasan Zulkifli Hasan
Zulkifli Hasan

JITRA - Semua pihak perlu menjaga sensitiviti kaum dan agama khususnya dalam membincangkan isu rumah ibadat bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur perlu diselesaikan dengan penuh kebijaksanaan dan semangat perpaduan, khususnya dalam bulan Ramadan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang keputusan yang dibuat sudah tentu mengambil kira kepentingan bersama demi kesejahteraan rakyat negara ini.

"Sebaiknya semua pihak merujuk dan menghormati kenyataan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana itulah keputusannya.

Iklan

"Kita biarkan proses rundingan berjalan dengan baik. InsyaALLAH dengan semangat Ramadan kita akan dapat menyelesaikan secara berhikmah dan damai,” katanya ketika hadir program ‘Wanita Darulaman Bertadabbur’ di Pusat Pendidikan Al-Azhar, dekat sini pada Ahad.

Zulkifli berkata, sebagai sebuah negara berbilang kaum, semua pihak perlu mengenali antara satu sama lain, serta menjaga sensitiviti masing masing.

Iklan
Zulkifli (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada peserta program ‘Wanita Darulaman Bertadabbur’ di Jitra. Zulkifli (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada peserta program ‘Wanita Darulaman Bertadabbur’ di Jitra.
Zulkifli (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada peserta program ‘Wanita Darulaman Bertadabbur’ di Jitra.

"Bukan hanya satu pihak, tetapi semua pihak harus menjaga sensitiviti masing-masing, barulah harmoni. Itulah yang diajar dalam Islam, untuk kita saling mengenali dan memahami antara satu sama lain,” tambahnya.

Menurutnya, perkara tersebut juga perlu dirujuk kepada pihak yang bertanggungjawab dalam rundingan terbabit.

"Sempena bulan Ramadan ini, marilah kita berdamai. Mesejnya adalah perpaduan dan keharmonian selain membawa semangat Ramadan untuk melihat dan meneliti apa pun keputusannya adalah untuk kepentingan bersama khususnya negara kita,” ujarnya.

Zulkifli turut menasihatkan agar semua pihak bersikap tenang dan memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berlangsung.

"Kita tenang, relaks dan fokus untuk membangunkan negara kita. InsyaALLAH isu ini akan berjaya diselesaikan sebaiknya dengan mengambil kira semua perkara berkaitan,” ujarnya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pihak berkaitan isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, sedang berunding dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara itu bagi memastikan ia berjalan lancar.

Anwar turut mengingatkan semua pihak agar tidak menjadi 'jaguh' dalam isu berkenaan.

Menurutnya, tanah berkenaan bukan milik kerajaan, sebaliknya milik swasta sejak 2012 dan pemiliknya memutuskan untuk membangunkan masjid di lokasi itu.

Ini menyebabkan kuil yang lama dan statusnya tidak mendapat kebenaran itu, akan dipindahkan ke lokasi baharu dan diberikan tapak tanah sebagai ganti.