PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Individu dipercayai membuat ugutan bunuh terhadap pendakwah bebas, Firdaus Wong berkaitan isu pembinaan kuil telah ditahan polis pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Balai Polis Damansara.
"Sebelum ini, seorang lelaki tempatan membuat laporan polis pada 21 Mac kira-kira jam 4.18 petang selepas menerima mesej suara mengandungi kata-kata cacian dan ugutan bunuh.
"Bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek pada 22 Mac sekitar jam 1.30 petang, selain itu sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menghantar ugutan berkenaan turut dirampas," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.
"Selain itu sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Shahiren Ibrahim di talian 019-569 3864," katanya.
Media sebelum ini melaporkan pendakwah bebas berkenaan membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh di Facebook (FB), susulan kenyataannya berkaitan isu pembinaan kuil.