10 beradik Orang Asli sepakat jaga dua anak saudara beragama Islam

Iklan
Liza memangku anak saudaranya,Aleyana Fathia yang kehilangan ibu bapa pada 2018. Liza memangku anak saudaranya,Aleyana Fathia yang kehilangan ibu bapa pada 2018.
Liza memangku anak saudaranya,Aleyana Fathia yang kehilangan ibu bapa pada 2018.

KUALA PILAH - Berlainan agama bukan penghalang 10 adik-beradik Orang Asli di sini membesarkan dua anak saudara beragama Islam yang menjadi yatim piatu sejak 2018.

Ibu saudara, Liza Anak Dal, 46, berkata, anak saudaranya, Muhammad Aliff,13, dan Aleyana Fathia, 9, kehilangan bapa mereka, Kasmat Kusnadi, 32, akibat kanser darah pada September 2018.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dua beradik itu sekali lagi kehilangan tempat bergantung apabila ibu mereka, Jayana Dal, 32, pula meninggal dunia pada November 2018 selepas menderita kanser usus.

"Mulanya dua beradik ini duduk bersama mak bapa saya, tapi selepas mereka meninggal dunia, saya serta sembilan adik-beradik lain pula ambil alih tugas tersebut.

Iklan

"Kami jaga sama-sama, kalau saya ada masalah atau tak boleh uruskan mereka, abang atau adik saya pula akan ambil alih jaga mereka," katanya ditemui pada Program Baju Raya De Johol 2025 anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol pada Ahad.

Liza berkata, walaupun berlainan agama, dua beradik itu dibesarkan dengan cara Islam yang mementingkan halal haram.

Saiful Yazan (dua kiri) melihat baju raya dipilih oleh seorang penerima. Saiful Yazan (dua kiri) melihat baju raya dipilih oleh seorang penerima.
Saiful Yazan (dua kiri) melihat baju raya dipilih oleh seorang penerima.

Iklan

"Kami tahu halal haram, jadi tak pernah beri makanan yang tak boleh mereka makan.

"Kita tetap bersaudara walaupun berlainan agama dan kita tetap faham status mereka sebagai orang Islam jadi tak boleh sepenuhnya ikut cara kita," ujarnya.

Dia yang bekerja sebagai penoreh getah memaklumkan, tidak terbeban membesarkan anak yatim itu kerana kebajikan mereka terjaga menerusi banyak bantuan diterima.

"Anak yang sulung belajar di Kuala Lumpur dan duduk di asrama di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). Mereka terima banyak bantuan, saya yang uruskan permohonan bantuan tersebut.

"Apabila tiba musim perayaan pula, banyak pihak tampil membantu, seperti hari ini Pusat Khidmat ADUN Johol taja baju raya, begitu juga NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) ada bagi duit raya serta biskut raya," katanya.

Sebagai penjaga katanya, sudah tentu mereka tumpang bahagia melihat anak saudara bahagia menyambut musim perayaan.

"Kalau hari raya, saya tak ada bawa mereka ke tanah perkuburan, tapi selalunya akan bawa mereka jalan beraya di rumah saudara-mara dan kenalan ibu ayahnya dulu.

"Walaupun ramai cuba ceriakan mereka tapi setiap kali raya kesedihan itu sudah tentu ada kerana mereka tak dapat beraya bersama ibu bapa. Mereka hanya ada kenangan beraya bersama ibu bapa mereka ketika masing-masing masih kecil," tambahnya.

Saiful Yazan (tengah) bersama rakan urus setia bergambar bersama penerima.

Sementara itu, ADUN Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata, program memasuki tahun kelima itu merupakan inisiatif pusat khidmatnya dengan kerjasama Volunteers DUN Johol, KRT Pekan Johol dan Seri Nita Johol untuk membawa kegembiraan Aidilfitri dengan anak-anak kurang bernasib baik.

Menurutnya, seramai 120 pelajar sekolah terdiri daripada anak yatim dan asnaf dibawa membeli kelengkapan hari raya di Mydin Pulau Sebang membabitkan peruntukan RM200 setiap seorang.

Ia termasuk 12 anak Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Senibai yang turut dibawa membeli baju raya bagi merasai kemeriahan menyambut Aidilfitri.

"Saya tengok ada yang beli cermin mata, beg tangan dan juga dompet. Ada yang beli sampai dua dompet kerana satu mahu diberikan kepada adik.

"Sumbangan ini diharap membawa kegembiraan buat mereka kurang berkemampuan untuk membeli keperluan hari raya yang dihajati," katanya.