SHAH ALAM - Sambutan Hari Kebangsaan Pakistan di hadapan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pakistan di ibu kota berlangsung penuh patriotik dan diserikan dengan kehadiran rakyat negara berkenaan yang menetap di Malaysia serta rakan-rakan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah berkata, hari bersejarah itu disifatkan amat penting bagi mengenang pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu di samping menerapkan semangat perpaduan dan kesedaran dalam diri anak muda.
Beliau yang mengetuai acara itu menegaskan, kemerdekaan dikecapi pada 23 Mac 1940 merupakan hasil perjuangan dan usaha gigih pemimpin lama terutamanya pengasas negara, Quaid-e-Azam Muhammad Ali Jinnah.


"Rakyat Pakistan patut mencontohi semangat juang dan dedikasi pemimpin terdahulu yang semata-mata mahu melihat Pakistan terus maju ke hadapan.
"Hari ini bukan sekadar peringatan sejarah, tetapi juga dorongan buat kita semua untuk terus berusaha memartabatkan negara dalam pelbagai bidang," katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Kebangsaan Pakistan pada Ahad.
Syed Ahsan turut menaikkan bendera Pakistan sambil diiringi lagu kebangsaan yang dinyanyikan penuh bersemangat oleh rakyat negara tersebut bersama-sama warga tempatan.
Beliau turut membacakan mesej daripada Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari; Perdana Menteri, Muhammad Shehbaz Sharif dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri, Senator Muhammad Ishaq Dar yang menginginkan rakyat Pakistan terus bekerja keras demi kemajuan negara.
Sementara itu, Syed Ahsan menyentuh hubungan diplomatik antara Pakistan dan Malaysia kerana katanya, kedua-dua pihak mempunyai ikatan sejarah, budaya serta nilai-nilai kebersamaan yang kukuh.
Tambahnya, Malaysia ialah rakan penting buat Pakistan bukan sahaja dari sudut ekonomi, malah sosial dan budaya.
"Kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama dalam pelbagai aspek dan saya yakin hubungan ini akan terus berkembang.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang memberikan peluang kepada hampir 200,000 rakyat Pakistan untuk bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini.
"Komuniti Pakistan merupakan penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia dan diharapkan mereka terus menjadi jambatan penghubung antara kedua-dua pihak," ujarnya lagi.
Dalam majlis itu, Syed Ahsan berpandangan, masyarakat antarabangsa juga perlu memberikan perhatian serius terhadap nasib rakyat Jammu dan Kashmir yang berjuang untuk memperoleh kebebasan kerana masih di bawah penaklukan India.
"Hari ini kita bukan sahaja meraikan kejayaan negara, tetapi mengingatkan kepada dunia bahawa rakyat Kashmir masih berjuang untuk kebebasan mereka.
"Pakistan akan terus menyokong mereka dalam perjuangan ini," jelas beliau.