Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan memansuhkan Piala MFL musim depan selepas mendapat persetujuan sebulat suara daripada rakan kongsi liga.
Menurut MFL dalam satu kenyataan, pemansuhan itu dibuat kerana saingan bawah 23 tahun tersebut menelan belanja yang besar bagi pasukan yang bertanding.
"Keputusan untuk memansuhkan Piala MFL dibuat menerusi perbincangan bersama Rakan Kongsi Liga yang terdiri daripada 13 kelab Liga Super dalam pertemuan pada 19 Februari 2025.
"Selepas dua musim, MFL mendapati pihak kelab menanggung perbelanjaan tinggi dari segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik sehingga mencecah RM28 juta bagi keseluruhan kos yang ditanggung kelab Liga Super.
"Dengan mengambil kira pandangan semua Rakan Kongsi Liga, MFL percaya keputusan untuk memansuhkan saingan Piala MFL ini perlu diambil dalam usaha untuk mengukuhkan dan menstabilkan semula kedudukan kewangan kelab," menurut kenyataan itu.
Kejohanan untuk pembangunan pemain muda ini mula dipertandingkan pada 2023 dengan sokongan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), dan setiap kelab diwajibkan memiliki skuad Piala MFL bagi memenuhi salah satu kriteria dalam Pelesenan Kelab.
Badan pengelola liga itu menjelaskan, rakan kongsi liga juga bersetuju bahawa pada usia pemain 20 hingga 23 tahun, pemain muda seharusnya sudah mula bersaing untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama, berbanding bermain dalam pertandingan peringkat umur.
"Meskipun Piala MFL tidak akan dipertandingkan lagi bermula musim depan, pembangunan pemain muda tetap menjadi keutamaan dengan skuad Piala Presiden (bawah 20 tahun) dan Piala Belia (bawah 18 tahun) kekal bersaing dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Dengan ketiadaan liga bagi pemain bawah 23 tahun ini, MFL komited untuk terus memperkasakan satu-satunya saingan liga domestik iaitu Liga Super bagi musim 2024-2025," kata kenyataan itu.