PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Rezeki tidak disangka-sangka buat 'pak cik petai' apabila sebuah hospital swasta di Seremban berhasrat untuk membantu kos pembedahan mata isterinya.
Anaknya Siti Nurhidayu Mohd Noor, 30, berkata, pihak hospital terbabit menghubungi bapanya pada Ahad meminta untuk datang membuat saringan mata terlebih dahulu.
"Pihak hospital beritahu segala kos akan ditanggung mereka dan minta mak datang ke hospital buat saringan mata dulu.
"Jadinya esok (Selasa), kami akan datang ke hospital itu kira-kira jam 9 pagi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, ibunya telah dinasihatkan doktor untuk membuat pembedahan katarak dua tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana masalah kewangan.
Selain itu kata Siti Norhidayu, sehingga hari ini rumah bapanya tidak putus-putus dikunjungi pelbagai pihak termasuk swasta yang datang menghulurkan sumbangan sehingga mereka tidak cukup tidur.
"Apa yang terjadi ada hikmahnya. Alhamdulillah, menjadi rezeki buat ayah saya juga," katanya.
Tambahnya, pihak keluarga juga sudah memaafkan penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) terlibat dan tidak mahu isu terbabit dipanjangkan lagi.
Pada masa sama, dia turut menyangkal tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan sengaja berkongsi video kejadian di media sosial untuk meraih simpati.
"Saya tinggal di Johor dan video apa yang berlaku saya terima daripada seorang individu.
"Sebagai anak tentunya saya sedih kerana tengok ayah macam itu dan disebabkan itulah, saya kongsinya di media sosial, tapi memang tiada niat langsung nak raih simpati," katanya.
Sebelum ini tular video Mohd Noor Saad, 67, bertindak membuang kesemua barang jualannya di jalan raya sebagai tanda protes kerana tidak dibenarkan berniaga petai menggunakan motosikal.
Kejadian itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah pasar raya di daerah ini.
Perkongsian video tersebut mengundang pelbagai reaksi warganet, dengan majoriti meluahkan rasa simpati terhadap lelaki itu.
Ada juga netizen yang meminta MPPD menggunakan budi bicara kerana lelaki tersebut bukan berniaga dengan mendirikan khemah di tepi jalan, sebaliknya hanya menjual barangan menggunakan motosikal.
Warga emas berkenaan memberitahu dia berniaga kerana mahu mengumpul duit untuk pembedahan katarak mata isterinya.