PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski, bertekad memulakan aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F dengan nota kemenangan apabila berdepan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Selasa.
Menurutnya, skuad kendaliannya telah membuat persiapan rapi sepanjang tempoh lapan hari latihan pusat menjelang aksi berkenaan.
"Ini adalah langkah pertama yang sangat penting bagi kami. Kami mahukan persembahan yang baik, keputusan yang baik, dan apabila tiba masanya nanti, kami benar-benar mahu berada di pentas Piala Asia.
"Kelayakan ke Piala Asia ini penting kerana ia merupakan matlamat jangka pendek kami dalam tempoh 12 bulan akan datang," katanya pada Isnin.
Mengulas mengenai ujian pertamanya menentang Nepal, pengendali kelahiran Australia itu berkata, dia tidak pernah berasa tertekan.
Malah, katanya, dia juga tidak menghiraukan pendapat yang membandingkan prestasinya dengan ketua jurulatih terdahulu.
"Tekanan tidak ada dalam kamus hidup saya dan perlawanan menentang Nepal bukanlah tentang diri saya.
"Ini adalah tentang skuad Harimau Malaya yang dibentuk untuk menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia dengan corak permainan yang menghiburkan.
"Oleh itu, saya rasa sangat teruja dengan kumpulan pemain yang telah dibentuk, dan saya yakin kami bekerja dengan baik setiap hari bagi mengejar misi jangka pendek untuk layak ke Piala Asia. Jadi, kami perlu muncul sebagai juara kumpulan," katanya.
Dalam pada itu, Cklamovski masih membisu berhubung senarai 23 pemain yang akan disenaraikan pada aksi berdepan Nepal, termasuk dua pemain warisan yang baharu menyertai skuad kebangsaan, Hector Hevel dan Gabriel Palmero.
Sementara itu, Cklamovski berkata, selain memahami konsep dan falsafah bola sepak yang diterapkan, pemain juga perlu membina mentaliti kemenangan dalam skuad Harimau Malaya kali ini.
"Mentaliti kemenangan memerlukan konsistensi dalam apa yang kita lakukan. Kita telah melalui hari-hari yang baik, tetapi kita perlu terus membina momentum itu.
"Jadi, dalam perlawanan esok, kita mahu mengambil langkah pertama dengan cara yang positif, menjadi pasukan yang kuat.
"Kemudian, kita perlu terus membina mentaliti sebagai satu pasukan untuk menetapkan diri kita sebagai antara yang terbaik," ujarnya.