PUTRAJAYA - Seramai 14,000 penjawat awam Terengganu Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) yang akan disalurkan sebelum hari raya.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan memaklumkan, keputusan itu merupakan lanjutan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri itu minggu lalu.
"Kerajaan bersetuju untuk membiayai BKKA bagi penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu," katanya pada Isnin.
Menurut Mof, kerajaan kekal komited dengan prinsip kesaksamaan dan pendekatan yang manusiawi agar kemakmuran negara dapat dirasai secara bersama, sejajar dengan wawasan Menaikkan Lantai dalam kerangka Ekonomi Madani.
"Semoga sumbangan ini membawa sedikit kegembiraan kepada mereka yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi," jelasnya.
Jumaat lalu, Anwar mengumumkan pemberian BKKA RM500 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah.
Bantuan khas sebanyak RM250 turut dibayar kepada pesara yang merangkumi lesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara KWSP, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
Bayaran BKKA turut dipanjangkan kepada 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja serta marbut bagi menghargai sumbangan besar mereka.
Sumbangan BKKA membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM900 juta.