PENYANYI Bunga Citra Lestari (BCL) kembali membuat persembahan buat pertama kali selepas 11 hari pemergian suaminya, Ashraf Sinclair menerusi acara SQ Friday Fusion di Coca-Cola SQ Dome, Jakarta Selatan semalam.
Menyifatkan lokasi itu mempunyai kenangan tersendiri buatnya kerana Allahyarham Ashraf dan anaknya, Noah Aidan, 10, pernah menemaninya membuat persembahan di situ tahun lalu.
"Tempat ini ada kenangan tersendiri buat saya kerana tahun lalu Almarhum suami saya dan Noah menemani saya membuat persembahan di sini," ujar BCL sebelum memulakan persembahan.
Tampil dengan busana serba hitam, BCL sempat meminta maaf kerana tidak mampu menyanyikan lagu berentak ceria dan memilih untuk menyampaikan lagu bertema cinta dan kekeluargaan.
Sebelum mendendangkan lagu Cinta Sejati, BCL memberitahu ini merupakan kali pertama dia menyampaikan lagu tersebut selepas cinta sejatinya pergi buat selamanya.
"Saya akan membahagikan cinta kepada semua orang," katanya dan seterusnya menyampaikan lagu Harta Berharga.
Bagaimanapun BCL sekali lagi tidak dapat menahan sebak, sebelum penyanyi Afgan dan Vidi Aldiano naik ke atas pentas untuk membantu mengiringi persembahan BCL menerusi lagu Aku dan Dirimu.
"Sememangnya dari satu lagu ke satu lagu ada kenangan yang tersendiri. Jadi saya minta maaf kalau saya sedih. Banyak emosi malam ini (semalam)," katanya yang sesekali turun mendekati tetamu yang hadir.
Malam ini, BCL akan menjayakan Romantic Valentine Concert with Ronan Keating featuring Bunga Citra Lestari & Christian Bautista di Pullman Central Park, Jakarta Barat.