NILAI - Peniaga santan diingatkan tidak cuba mengaut keuntungan dengan menjual santan cair kepada pelanggan berikutan harga bahan mentah itu yang telah ditetapkan RM17.50 sekilogram di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, sekiranya didapati ia berlaku, mereka boleh dikenakan tindakan.
"Kadang-kadang ada peniaga mengambil kesempatan di musim perayaan ini kerana melihat keperluan itu tinggi.
"Misalnya mengambil kesempatan mencampurkan air yang banyak dalam santan, kerana nak naik harga itu dah tak boleh, jadi kalau nak untung letak air banyak dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan mesra sempena Majlis Pelancaran SHMMP peringkat Negeri Sembilan di sini pada Isnin.
Selain itu katanya, tiada sebab untuk peniaga menaikkan harga lemang pada Aidilfitri ini berikutan tiada kenaikan harga santan seperti diuar-uarkan sebelum ini.
"Oleh kerana harga santan terkawal, maka kita tidak nampak kenapa harga lemang harus dinaikkan.
"Bagaimanapun tiada harga standard untuk lemang ditetapkan, tapi peniaga perlulah letak harga yang berpatutan dan pengguna juga harus bijak membuat keputusan nak membeli lemang macam mana," katanya.
Beliau turut mengingatkan peniaga untuk meletakkan tanda harga mengikut saiz lemang ditetapkan bagi memudahkan pengguna membuat pilihan.
Sebelum ini, media melaporkan santan antara 26 barangan yang tersenarai dalam SHMMP Aidilfitri 2025 yang bermula 24 Mac hingga 7 April ini.
Empat barang ditambah tahun ini ialah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), lobak merah dan santan.