KUALA LUMPUR - Mentaliti you only live once atau YOLO dalam kalangan generasi muda mungkin mendorong mereka mencuba perkara baharu termasuk hubungan sejenis, yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan lelaki berusia 20 hingga 39 tahun.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, trend peningkatan itu semakin membimbangkan.
"Keberanian mencuba sesuatu termasuk antun seksual dilakukan individu yang ingin melakukan satu kegiatan diluar tabii sehingga mereka lupa kesannya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam mengenai faktor menjadikan hubungan seks antara lelaki dengan lelaki lebih berisiko tinggi dijangkiti HIV dan sama ada terdapat program kesedaran secara agresif oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengurangkan stigma terutamanya terhadap golongan lelaki muda.
Beliau berkata, bilangan jangkitan HIV baharu di Malaysia secara amnya telah berkurangan daripada 6,978 kes dengan kadar notifikasi 28.5 bagi 100,000 penduduk pada 2002 kepada 3,185 kes dengan kadar notifikasi 9.4 bagi 100,000 penduduk tahun lepas.
Menurut beliau, pada 2024, sebanyak 52 peratus kes HIV yang dilaporkan melibatkan kaum Melayu diikuti Cina (14 peratus).
"Bumiputera Sabah menunjukkan kadar spesifik etnik yang tinggi iaitu 14.2 peratus bagi setiap 100,000 penduduk bumi Sabah diikuti bumiputera Sarawak 14.0 peratus bagi setiap 100,000 penduduk dan bangsa India iaitu 12.1 peratus bagi setiap 100,000 penduduk berbangsa India.
"Negeri yang mencatatkan jumlah kes HIV baru tertinggi adalah Selangor sebanyak 1,085 kes atau 34.1 peratus diikuti Wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 365 kes atau 11.4 peratus dan Sabah sebanyak 344 kes atau 10.8.
"Walaupun demikian, terdapat tentangan terhadap pendekatan PrEP daripada beberapa kelompok walaupun secara teknikalnya itu adalah solusi yang terbaik buat semasa ini,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mekanisme berkata, jawatankuasa berkenaan menghimpunkan golongan yang terlibat dengan gejala tidak sihat itu selain melibatkan badan-badan keagamaan untuk menasihat serta mendengar perkembangan semasa gaya hidup yang bertentangan dengan masyarakat masa ini.
Pada masa sama, beliau menekankan peranan aplikasi media sosial memudahkan perhubungan antara individu berisiko tinggi tanpa mekanisme kawalan yang efektif untuk membendung perkara itu. - Bernama