Santan kotak keluaran Thailand disahkan halal - Exco

Iklan
Chon Siang menunjukkan pengiktirafan sijil halal terhadap santan kotak keluar Thailand yang dijual di sebuah pasar raya di Tanjung Lumpur pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN Chon Siang menunjukkan pengiktirafan sijil halal terhadap santan kotak keluar Thailand yang dijual di sebuah pasar raya di Tanjung Lumpur pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN
Chon Siang menunjukkan pengiktirafan sijil halal terhadap santan kotak keluar Thailand yang dijual di sebuah pasar raya di Tanjung Lumpur pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN

KUANTAN – Produk santan kotak keluaran Thailand yang dijual di sebuah pasar raya di Tanjung Lumpur disahkan halal.

Exco Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Sim Chon Siang berkata, pemeriksaan dilakukan selepas menerima aduan bahawa produk tersebut didakwa tidak halal.

Iklan
Iklan

"Selepas semakan dibuat, produk ini disahkan halal oleh badan pensijilan Thailand yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jadi tidak timbul isu ketidaksahihan status halalnya.

"Saya harap perkara ini tidak berpanjangan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas program tinjauan mesra Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2025 di sebuah pasar raya di Jalan Teluk Sisek, di sini pada petang Isnin.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin.

Iklan

Terdahulu, satu pesanan dan gambar tersebar di aplikasi WhatsApp mendakwa bahawa produk santan jenama PraoHom dari Thailand tidak memiliki sijil halal yang sah.

Gambar tersebut menunjukkan kotak santan UHT berkapasiti 250ml dengan wajah seorang chef serta tulisan dalam bahasa Thai dan Inggeris, yang menimbulkan keraguan dalam kalangan pengguna Muslim.

Menyentuh mengenai penjualan air balang mencecah RM6 di bazar Ramadan, Chon Siang berkata, harga itu terlalu tinggi dan peniaga diminta untuk menyemak semula kos serta menurunkan harga agar lebih berpatutan.

"Saya telah turun dan memantau beberapa tempat yang menjual air balang pada harga RM6, dan saya minta mereka kira semula kos.

"Bagi saya, RM6 untuk satu cawan air terlalu mahal. Jika harga ini tidak diturunkan, kita mungkin boleh mengambil tindakan dengan denda sehingga RM10,000,” katanya.

Selain itu, beliau turut menegur peniaga bazar dan kedai makan agar memaparkan tanda harga dengan jelas bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

"Ini Malaysia, bukan Thailand atau Indonesia. Jangan lakukan kesalahan ini,” tegasnya.

Menjawab berkaitan pemantauan harga barang di seluruh Pahang, beliau berkata, seramai 150 pegawai telah dikerahkan untuk memastikan harga barang dikawal dengan baik.

Jelasnya, 75 pegawai ditugaskan untuk turun padang secara berkala ke kawasan-kawasan utama.