'Mak Cik Nangka' terima tujuh kompaun tahun lepas

Iklan
Sisa nangka yang dipercayai ditinggalkan oleh peniaga terbabit. - Foto ihsan orang awam Sisa nangka yang dipercayai ditinggalkan oleh peniaga terbabit. - Foto ihsan orang awam
Sisa nangka yang dipercayai ditinggalkan oleh peniaga terbabit. - Foto ihsan orang awam

RAUB - Peniaga nangka yang tular kerana menjalankan perniagaan di atas rizab Jalan Persekutuan FT0008 (Bentong-Gua Musang) di sini pernah dikenakan tujuh kompaun oleh Majlis Daerah Raub (MDR) pada tahun lepas.

Pegawai Daerah Raub, Datuk Khuzaidi Haron berkata, ia melibatkan kesalahan mungkir mematuhi notis dan menjalankan perniagaan tanpa lesen dari MDR.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini peniaga terbabit hanya menjelaskan satu kompaun sahaja dan MDR sedang dalam proses untuk mengambil tindakan terhadap wanita tersebut.

"Anggota bahagian penguatkuasaan dan keselamatan MDR telah mengeluarkan tujuh kompaun kepada peniaga nangka berkenaan pada tahun lepas iaitu pada 3, 4 dan 10 Jun; 23 dan 27 Julai serta 10 dan 11 Ogos tahun lalu.

Iklan

"Setiap kompaun berjumlah RM500 namun hanya satu kompaun sahaja dibayar dan enam lagi akan diambil tindakan pembukaan kertas siasatan oleh pihak MDR,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, tular video berdurasi 2 minit 24 saat di media sosial memaparkan suara peniaga wanita memarahi anggota penguat kuasa pada Ahad.

Iklan

Insiden tersebut berlaku ketika operasi penguatkuasaan dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub bersama MDR di Jalan Persekutuan FT0008 (Bentong-Gua Musang), dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) di lokasi terbabit.

Dalam pada itu, Khuzaidi berkata, MDR juga telah mengeluarkan dua notis pada 4 Disember 2023 dan 1 Mei 2024 kerana menjaja tanpa lesen kepada peniaga berkenaan sebelum dua tindakan sita dilakukan tahun lepas.

"MDR telah membuat tindakan sitaan bersama-sama jabatan lain pada 6 Jun 2024 dan 8 Ogos 2024 kepada peniaga berkenaan,” jelasnya lagi.

Katanya, laluan tersebut juga merupakan kawasan yang berbahaya dan kerap berlaku kemalangan iaitu sebanyak 20 kes telah direkodkan berlaku sepanjang tahun lepas sehingga Februari tahun ini.

"Berdasarkan maklumat daripada pihak polis, terdapat 20 kes kemalangan di kawasan laluan ke Kuala Lipis bermula daripada lampu isyarat simpang Sungai Ruan sehingga kedai Pit Stop direkodkan dari tahun 2024 sehingga bulan Februari 2025.

"Selain itu, terdapat satu kemalangan maut turut berlaku melibatkan peniaga burger di tepi jalan di Kampung Lepar sebelum ini,” tambahnya.

Jelasnya, peniaga tersebut turut memiliki dua gerai lain yang menjual nangka di kiri dan kanan jalan di Kampung Gali Tengah yang beroperasi sejak 2023.