MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz terharu dan tersentuh dengan pengiktirafan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mencalonkan beliau sebagai presiden untuk penggal 2025-2029.
Tengku Zafrul yang menerima pencalonan tersebut juga mengucapkan terima kasih kepada BAM atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memimpin persatuan tersebut.
"Jika terpilih, saya akan berkhidmat untuk BAM dan sukan badminton sebaik mungkin demi penyokong badminton di seluruh Malaysia," katanya melalui hantaran di X pada Selasa.
Terdahulu, Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam mengumumkan bahawa majoriti ahli majlis BAM telah mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden dalam pemilihan BAM akan datang.
Subramaniam menekankan bahawa pencalonan ini menonjolkan keperluan untuk kepimpinan yang kuat dan stabil bagi memajukan persatuan ke hadapan.
Pemilihan BAM yang akan datang dijangka berlangsung pada 10 Mei semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) mereka.
Sebelum ini, Tengku Zafrul hampir dilantik sebagai Presiden BAM untuk menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang pada asalnya merancang untuk meletakkan jawatan pada awal tahun lalu.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta Mohamad Norza untuk mempertimbangkan semula dan kekal dalam jawatan sehingga selepas Sukan Olimpik Paris 2024.
Selepas tamatnya Sukan Olimpik Paris 2024, BAM memutuskan untuk melantik Subramaniam sebagai presiden sementara sehingga AGM pada bulan Mei. - Bernama