JERANTUT - Sebanyak 500 ekor ayam dan ikan bawal emas yang dijual dengan harga RM1 seekor habis terjual dalam tempoh 10 minit sempena pembukaan Pasar Raya BS Freshmart dan Jualan Makmur 2025 Kluster Aidilfitri, di sini pada Selasa.
Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli ayam dan ikan tersebut serta mula menunggu sejak jam 8 pagi sebelum premis itu dibuka sejam kemudian.
Majlis perasmian pasar raya berkenaan disempurnakan oleh Exco Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Sim Chon Siang.
Pengarah Urusan BS Freshmart, Mohammad Rasul Razuan berkata, pihaknya menawarkan harga tersebut selama tiga hari bermula Selasa.
Menurutnya, pelanggan juga berpeluang mendapatkan harga RM5.99 seekor apabila ayam yang dijual dengan harga RM1 habis terjual.


"Kami juga bersedia mempertimbangkan cadangan Exco untuk menyediakan 2,000 ekor ayam dengan tawaran harga RM1 berasaskan tanggungjawab sosial korporat (CSR)," katanya.
Bagi pembeli, Roselan Ab Malek, 66, usaha pasar raya tersebut menjual ayam dan ikan pada harga murah wajar dipuji kerana dapat mengurangkan beban orang ramai khususnya pada Ramadan kali ini.
Sementara itu, Chon Siang turut mengalu-alukan langkah pasar raya berkenaan, khususnya menjelang musim perayaan.
"Jadi, kita berharap agar jumlah ayam ditambah menjadi 2,000 ekor supaya lebih ramai dapat membeli dengan harga RM1 seekor," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Jualan Makmur merupakan usaha kerajaan negeri yang memperuntukkan sebanyak RM1.1 juta bagi program tersebut.
"Jualan Makmur berlangsung serentak di 26 lokasi seluruh Pahang mulai 21 hingga 27 Mac 2025.
"Program ini melibatkan kerjasama dengan pasar raya dan pembekal terpilih bagi memastikan rakyat dapat menikmati harga yang lebih murah menjelang Aidilfitri," tambahnya.