KAHERAH – Seekor caracal liar mencetuskan kekecohan di sebuah pangkalan tentera Israel apabila ia menyerang dan menggigit beberapa anggota tentera.
Media antarabangsa melaporkan bahawa kejadian luar biasa ini menarik perhatian dunia Arab, di mana haiwan itu segera diangkat sebagai simbol keberanian dalam menentang Israel.
Menurut penyiar rasmi Israel, KAN, haiwan liar itu berjaya ditangkap selepas satu operasi memburunya sepanjang malam di sebuah pangkalan berhampiran Har Harif, di sempadan Israel-Mesir.
Caracal tersebut dipercayai telah menyelinap masuk ke dalam kem tentera sebelum bertindak agresif dengan menyerang beberapa anggota.
Pihak Berkuasa Alam Semula Jadi dan Taman Israel mengesahkan kejadian itu sebagai sesuatu yang jarang berlaku kerana spesies tersebut kebiasaannya mengelak daripada berinteraksi dengan manusia.
"Caracal ialah haiwan liar yang jarang ditemui di kawasan Negev dan Arava. Kami masih belum mengetahui punca sebenar ia bertindak agresif, tetapi ada kemungkinan ia terbiasa diberi makan oleh manusia atau melarikan diri dari kurungan haram," menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa Israel.
Di dunia Arab, insiden ini segera menjadi perbualan hangat di media sosial. Ribuan pengguna X menggunakan tanda pagar #LynxMesir, mengaitkan caracal itu dengan mitologi Mesir Purba yang menggambarkan haiwan ini sebagai pelindung daripada kejahatan.
Seorang pengguna X yang dikenali sebagai @docjazzmusic, seorang pakar bedah dan pemuzik Palestin, menulis,"Kucing yang menyerang tentera penceroboh Israel ini bukan sebarang haiwan. Ia adalah 'seorang' yang membuat keputusan tepat untuk bertindak!"
Seorang lagi pengguna, @Ro_gopa, yang dikenali sebagai penyelidik anti-Zionis Israel-Yaman, menyindir,"Caracal ini lebih berani daripada tentera Mesir! Ia bertindak melawan Israel, sedangkan tentera Mesir hanya melihat kekejaman berlaku di Gaza tanpa berbuat apa-apa."
Beberapa pengguna media sosial turut berseloroh dengan menyatakan bahawa caracal ini adalah 'pejuang rahsia Hamas' atau bertanya sama ada haiwan itu akan turut dianggap 'antisemitik' oleh Israel.
Selepas ditangkap, haiwan itu dipindahkan ke pusat rawatan veterinar dalam keadaan kritikal. Pasukan perubatan berharap ia dapat dipulihkan dan dilepaskan kembali ke habitat asalnya.
Sementara itu, ketegangan di Gaza terus memuncak selepas Israel menyambung semula serangan terhadap Hamas. Insiden serangan caracal ini menambah lagi sentimen anti-Israel dalam kalangan masyarakat Arab, yang melihatnya sebagai simbol kecil tetapi bermakna dalam perjuangan menentang pendudukan Israel. - Agensi