PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menyeru seluruh peminat Harimau Malaya untuk membanjiri Stadium Sultan Ibrahim malam ini, bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan negara dalam aksi pembukaan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan, kira-kira 3,300 tiket telah terjual setakat tengah hari Selasa.
Beliau berharap jumlah ini akan terus meningkat, membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi penyokong Harimau Malaya.
"Kita faham sekarang ini di bulan Ramadan, kita memahami perkara itu. Bagi yang telah mendapatkan tiket, terima kasih diucapkan atas sokongan padu yang diberikan kepada Harimau Malaya.
"Sememangnya, kita mengharapkan kejayaan besar diraih pada perlawanan ini, kami meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap pengurusan pasukan baharu ini," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada Selasa.
Sementara itu, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menyeru penyokong untuk memenuhi Stadium Sultan Ibrahim dan menjadi 'pemain ke-12' yang penting bagi pasukan negara.
"Ayuh turun ke stadium, berikan sokongan kepada pasukan ini dan berikan tonik buat pemain untuk beraksi.
"Sama-sama kita bersatu untuk membawa pasukan bola sepak negara terus maju ke hadapan," katanya.