Sultan Perak titah gabungan parti perlu buktikan 30 kerusi: Saarani

Iklan
Saarani ketika bercakap kepada pemberita di sini hari ini.

LENGGONG - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, hanya gabungan parti yang dapat membuktikan majoriti sekurang-kurangnya 30 kerusi boleh membentuk kerajaan di Perak.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, baginda menitahkan demikian ketika beliau diperkenankan menghadap Sultan Perak, Khamis lalu di Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam pertemuan itu Muafakat Nasional sebagai blok pembangkang di Perak berkongsi pandangan dan pendapat, mahukan sebuah kerajaan yang majoritinya tidak dipertikaikan.

"Kita tidak pernah mendesak atau tunjuk pandai kepada tuanku, cuma menyampaikan pandangan, itu sahaja dan saya cukup yakin dengan pengalaman serta ilmu pengetahuan tinggi, baginda akan mengambil kira semua pandangan.

Iklan

"Dalam pertemuan itu, tuanku bertitah bahawa baginda berkehendak mana-mana gabungan yang boleh buktikan ada sekurang-kurangnya 30 kerusi, maka itulah yang akan dipilih sebagai kerajaan.

"Jadi kita tunggu. Saya yakin baginda Sultan akan gunakan lunas undang-undang yang betul untuk melihat siapa yang ada kerusi mencukupi untuk bentuk kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perkahwinan anak perempuan beliau di Dewan Besar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: DAP Perak akan bertindak ikut Perlembagaan

Iklan

Saarani berkata, setakat ini Muafakat Nasional Perak masih kekal dengan 28 kerusi dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya dua kerusi bagi membentuk kerajaan.

Katanya, bagaimanapun dalam hal itu UMNO mahupun Pas tidak bersikap terburu-buru sebaliknya hanya akur dengan setiap keputusan dibuat pimpinan tertinggi parti.

Saarani menyambut kehadiran tetamu yang hadir meraikan majlis perkahwinan anak perempuannya di Dewan Besar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong hari ini.

"Saya fikir di Perak ini kita tak ada masalah besar sangat, mana-mana gabungan yang boleh buktikan ada 30 kerusi, maka sudah tentu baginda akan panggil dan beri kepercayaan kepada gabungan itu.

"Setakat ini, kita ada 28 kerusi, siapa-siapa yang merasakan ingin bersama Muafakat Nasional bagi membentuk kerajaan, tiada masalah, hanya datang beritahu bersetuju bersama kita tanpa syarat. Insya-ALLAH kita boleh bentuk kerajaan," katanya.

Ketika mengulas dakwaan wujud usaha menarik sokongan kalangan wakil rakyat Pakatan Harapan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, pihaknya tidak pernah memberi apa-apa tawaran atau mengadakan rundingan bagi tujuan itu.

"Tiada kenyataan rasmi daripada UMNO berhubung perkara itu dan kita sendiri tidak pernah menghubungi atau berunding dengan mereka, jika ada yang menyatakan demikian, saya sahkan ia tidak benar," katanya.

Rabu lalu, ADUN Hulu Kinta dari PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa telah dihubungi seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) yang merupakan seorang bekas Exco Kerajaan Perak untuk menyertai parti itu dan menyokong pembentukan sebuah kerajaan negeri baharu.