Israel tahan rakyat Palestin terlibat filem pemenang Oscar

Iklan
Tentera Israel menahan Hamdan al-Harini, individu yang menyumbang kepada filem pemenang Oscar No Other Land, di kawasan Masafer Yatta, selatan Hebron. Tentera Israel menahan Hamdan al-Harini, individu yang menyumbang kepada filem pemenang Oscar No Other Land, di kawasan Masafer Yatta, selatan Hebron.
Tentera Israel menahan Hamdan al-Harini, individu yang menyumbang kepada filem pemenang Oscar "No Other Land", di kawasan Masafer Yatta, selatan Hebron.

RAMALLAH (Palestin) - Tentera Israel menahan seorang rakyat Palestin dari Tebing Barat lewat Isnin yang terlibat dalam penerbitan sebuah dokumentari yang memenangi Anugerah Oscar awal bulan ini, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Aktivis antipenempatan haram, Osama Makhamra yang memantau pelanggaran oleh Israel, memberitahu Anadolu bahawa pasukan tentera Israel menahan Hamdan al-Harini, individu yang menyumbang kepada filem pemenang Oscar"No Other Land", ketika serangan oleh peneroka haram ke atas komuniti Susya di kawasan Masafer Yatta, selatan Hebron.

Iklan
Iklan

Pada 2 Mac lalu,"No Other Land" memenangi kategori dokumentari terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) ke-97 di Los Angeles.

Filem itu, yang diarahkan bersama oleh Basel Adra, Yuval Abraham, Hamdan Ballal dan Rachel Szor, menampilkan kisah pengusiran paksa sebuah keluarga Palestin dari kediaman mereka di Masafer Yatta oleh Kerajaan Israel.

Iklan

Dalam ucapan kemenangan mereka, para pembikin filem menyeru agar pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat dihentikan.

Makhamra berkata penahanan itu berlaku ketika peneroka haram menyerang Susya, sebelum pasukan tentera dan polis Israel tiba dan menahan tiga individu, termasuk al-Harini.

Iklan

Akhbar harian Israel, Haaretz, melaporkan bahawa"puluhan peneroka menyerang rakyat Palestin di Susya pada Isnin," mencederakan al-Harini yang dikenali sebagai aktivis.

Saksi dan aktivis antarabangsa memberitahu akhbar itu bahawa peneroka memukul al-Harini di kepala, merosakkan tangki air, mencuri kamera keselamatan dan memecahkan tingkap kereta.

Ketika dia sedang dibawa ke hospital dengan ambulans Bulan Sabit Merah, askar Israel - termasuk sebahagian daripada unit kecemasan peneroka-menahan kenderaan itu, menangkap al-Harini dan menyerahkannya kepada pasukan lain, menurut Haaretz.

Aktivis keamanan dari Amerika Syarikat di lokasi kejadian menghubungi polis, namun mereka dilaporkan tidak campur tangan, sementara peneroka melarikan diri sebaik sahaja tentera tiba.

"Pasukan itu membawa ketiga-tiga tahanan dalam keadaan bergari dan ditutup mata, meskipun salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan," katanya.

Nasib tahanan berkenaan masih tidak diketahui, dan pihak berkuasa Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Terdahulu pada Isnin, Makhamra memberitahu Anadolu bahawa sekitar 30 peneroka Israel menyerbu Susya, melepaskan tembakan ke udara dan menyerang penduduk.

Ketua Majlis Tempatan Susya, Jihad Nuwaja mengesahkan bahawa empat rakyat Palestin mengalami lebam dan kecederaan akibat serangan peneroka itu.

Ketegangan terus memuncak di Tebing Barat yang diduduki, dengan sekurang-kurangnya 937 rakyat Palestin terbunuh dan hampir 7,000 cedera dalam serangan oleh tentera Israel dan peneroka haram sejak serangan ke atas Gaza bermula pada 7 Okt 2023, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Pada Julai lepas, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin adalah tidak sah dan menggesa pemindahan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur. - Bernama-Anadolu