SEPANG - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengesan ancaman keselamatan siber yang menjejaskan beberapa sistem komputer di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lalu.
Susulan itu, siasatan menyeluruh segera dijalankan bagi menilai sifat serta skala kejadian tersebut.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, memberi jaminan bahawa operasi lapangan terbang kekal menjadi keutamaan mereka.
"Kami bekerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan operasi penerbangan dan pemprosesan penumpang berjalan lancar.
"Keselamatan, perlindungan serta integriti sistem lapangan terbang kekal menjadi keutamaan tertinggi ketika ini," katanya menerusi kenyataan bersama MAHB dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pada Selasa.
Menurutnya, pasukan teknikal dan operasi sedang aktif memantau situasi serta melaksanakan langkah-langkah bagi melindungi infrastruktur lapangan terbang dan memastikan pengalaman penumpang tidak terganggu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NACSA, Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin, berkata, pihaknya mengikuti perkembangan ini dengan teliti sejak menerima laporan daripada Malaysia Airports pada 23 Mac lalu.
"Kami difahamkan bahawa operasi di KLIA tidak terjejas, dan kami akan terus memantau situasi serta memberi sokongan kepada Malaysia Airports," katanya.