BERA - Empat lelaki, termasuk dua warga Indonesia, ditahan pada Isnin selepas disyaki mencuri buah kelapa sawit di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, tangkapan pertama dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Bera membabitkan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian sawit di Ladang Felda Rentam, Bandar Bera pada Februari lalu.
Menurutnya, susulan tangkapan tersebut, dua lagi lelaki ditahan di Ladang FDM Felda Mayam, Bandar Bera pada Isnin kerana disyaki terlibat dalam kes yang sama.
"Polis turut merampas sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri sawit.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, tiga suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh pada Selasa untuk permohonan reman, manakala seorang lagi individu dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.
"Ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras jenayah di daerah ini.
"Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah, terutama kes kecurian sawit. Pada masa sama, elakkan membuat sebarang spekulasi memandangkan kes ini masih dalam siasatan,” tambahnya.