KUALA LUMPUR – Tiga penduduk asal Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, berjaya mendapatkan penangguhan sementara perintah pengosongan rumah flat mereka, yang sepatutnya dikuatkuasakan pada Rabu.
Keputusan itu dibuat oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Ahmad Asyraf Mohamed Kamal, selepas membenarkan permohonan peguam, Dr Azura Mokhtar, yang mewakili Ibrahim Khalil, Syazrin Dinie Ibrahim, dan Hashim Mohd Salleh.
Menurut Azura, anak guamnya memohon penangguhan notis pengosongan yang dikeluarkan pemaju, memandangkan terdapat rayuan berhubung perkara itu di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
"Mahkamah menetapkan perbicaraan permohonan penangguhan ini pada 22 April depan. Kedua-dua pihak – pemaju dan anak guam saya – diarahkan memfailkan afidavit jawapan serta balasan sebelum tarikh pendengaran," katanya dalam sidang media.
Terdahulu, penduduk terbabit memfailkan rayuan pada 27 Januari 2024 terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 November 2024, yang memihak kepada pemaju.


Pada 15 November 2024, Mahkamah Tinggi memerintahkan pemaju diberikan pemilikan kosong ke atas hartanah berkenaan dan dibenarkan untuk merobohkan struktur binaan.
Sebanyak 108 penduduk yang mendiami unit flat dan rumah teres di kawasan tersebut diarahkan untuk mengosongkan hartanah dalam tempoh 14 hari. Selain itu, syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengurusan Air Selangor, dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal turut diberikan kebenaran untuk memotong bekalan elektrik, air, serta perkhidmatan lain dalam tempoh masa sama.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru melibatkan rumah flat dan teres telah menimbulkan kontroversi susulan tuntutan segelintir penduduk yang tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan.
Pada Disember 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan kepada Parlimen bahawa usaha sama antara pemilik dan pemaju dibuat berdasarkan rundingan tanpa paksaan atau tekanan.
Proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) melibatkan 110 unit – termasuk 37 lot rumah teres, 72 unit flat, dan satu lot pencawang elektrik TNB – telah diselesaikan pada Ogos 2023.
Pampasan pula telah dibayar secara berperingkat antara Februari 2022 hingga Januari 2023 oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL).
Terbaharu, penduduk flat yang terlibat dengan APT 1960 telah menerima notis pengosongan premis berkuat kuasa Rabu ini, hanya beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri.