KAJANG - Seramai 12 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes samun sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu terbabit terdiri daripada saksi serta seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
"Siasatan kes hampir selesai. Kita telah merakam percakapan 12 individu bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan bahawa suspek disyaki melakukan samun dan melarikan tujuh dulang barang kemas bernilai RM2 juta.
Lelaki berusia 32 tahun itu merupakan anggota polis bantuan sebuah syarikat utiliti dan dipercayai bertindak secara bersendirian dengan menggunakan senjata api milik syarikat tempatnya bertugas.
Suspek ditahan pada Ahad dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api.
Polis juga berjaya menemukan semula sebahagian daripada barang kemas yang disamun.
Pada Sabtu, Pusat Kawalan Polis Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian samun bersenjata api di kedai emas berkenaan pada jam 4.56 petang.