RM1.5 billion dana untuk manfaat PMKS

Iklan
Gobind Foto fail Bernama Gobind Foto fail Bernama
Gobind Foto fail Bernama

KERAJAAN Madani mengumumkan peruntukan dana kumulatif kira-kira RM1.5 bilion bagi menyokong inisiatif mendigitalkan perniagaan di seluruh negara.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, dana itu bertujuan menyediakan penyelesaian digital bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Iklan
Iklan

"Ia di samping menawarkan kemudahan pembiayaan digital yang menyokong keperluan operasi harian komuniti ini.

"Dana ini diwujudkan melalui kerjasama strategik awam-swasta melibatkan agensi kerajaan dan rakan sokongan termasuk institusi kewangan, bank digital, platform pembiayaan Peer-to-Peer (P2P) serta penyedia perkhidmatan tempatan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Inisiatif Pendigitalan Perniagaan (BDI) di sini pada Selasa.

Iklan

Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan SME Corp Malaysia, institusi kewangan, bank digital, platform P2P serta penyedia perkhidmatan tempatan.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy serta barisan pemimpin industri.

Iklan

Gobind berkata, kerjasama tersebut penting bagi memastikan PMKS menerima sokongan menyeluruh dalam aspek pembiayaan, akses kepada alatan digital dan pembangunan kapasiti untuk beralih ke arah ekonomi digital dengan lebih berjaya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program tersebut merupakan satu inisiatif transformasi digital berteraskan rakyat oleh Kerajaan Madani yang bertujuan untuk memperkasa PMKS melalui penyelesaian teknologi inovatif demi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh negara untuk memastikan PMKS memiliki akses kepada penyelesaian digital, peluang pembiayaan dan bimbingan pakar bagi memperkukuhkan daya saing mereka dalam landskap ekonomi digital yang pantas berubah.

"Melalui BDI, Kerajaan Madani mempercepatkan penerimagunaan teknologi digital dalam kalangan PMKS, sambil memacu pertumbuhan inklusif yang membolehkan semua perniagaan, tidak mengira saiz, berkembang maju untuk jangka masa panjang," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, inisiatif tersebut disasarkan untuk menaik taraf PMKS melalui peningkatan daya tahan, daya saing serta mempersiapkan pertumbuhan mampan mereka dengan penerimagunaan teknologi digital yang bermanfaat.

"Pendekatan kami merangkumi bantuan yang disesuaikan, kerjasama strategik, akses kepada pembiayaan, serta penyelesaian e-invois berpatutan atau percuma berasaskan rangka kerja Peppol, yang menjadikan pendigitalan lebih mudah dicapai sambil menggalakkan PMKS untuk berkembang di pasaran tempatan dan global," katanya.