DALAM dunia yang semakin bergantung kepada media sosial, kita sering melihat video-video yang menjadi tular dan mendapat perhatian ramai. Salah satu contoh terbaharu yang mencuri perhatian ialah video menunjukkan seorang peniaga petai bertindak membuang barang jualannya di jalan raya kerana tidak dibenarkan berniaga.
Insiden di hadapan sebuah pasar raya di Port Dickson, Negeri Sembilan itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet, dengan sebahagian besar meluahkan rasa simpati terhadap peniaga tersebut.
Pada Ahad pula, tular video seorang wanita yang menjual nangka di rizab jalan Persekutuan memarahi anggota penguat kuasa. Lokasi kejadian di jalan utama antara Raub dan Kuala Lipis itu adalah laluan sibuk serta berisiko tinggi berlaku kemalangan.
Dua video tersebut jelas menunjukkan tindakan peniaga yang menjalankan perniagaan di tempat tidak sepatutnya, menghalang laluan pejalan kaki dan mengganggu lalu lintas.
Walaupun ada pihak menyalahkan penguat kuasa, kita harus ingat mereka bertanggungjawab memastikan peraturan dipatuhi demi kebaikan bersama.
Tindakan penguatkuasaan kadangkala dilihat keras, namun sebenarnya ia langkah untuk menjaga kepentingan masyarakat keseluruhannya.
Lihatlah insiden itu dalam konteks lebih luas dan beri ruang untuk memahami tugas yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT). Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dengan jelas menyatakan PBT hanya menjalankan tugas diamanahkan dan tindakan mereka tidak seharusnya dipandang serong.
Salah satu aspek penting perlu ditekankan di sini ialah keadilan dalam menilai sesuatu isu. Video yang tular hanya memaparkan satu bahagian daripada kejadian tanpa menunjukkan keseluruhan cerita. Ia menyebabkan ramai lebih cenderung memberikan persepsi negatif terhadap penjawat awam.
Dalam dua insiden tersebut, penguatkuasaan undang-undang bukanlah bertujuan mahu menindas. Aktiviti perniagaan di tempat yang salah boleh menimbulkan risiko kemalangan dan kesulitan kepada orang ramai.
Sebagai masyarakat bertanggungjawab, kita harus berhenti daripada terus menyebarkan fitnah dan kecaman. Sebaliknya, berilah sokongan kepada pihak berkuasa dalam memastikan kelangsungan peraturan yang adil dan wajar.
Peraturan dibuat untuk dipatuhi, bukan dilanggar sesuka hati. Semoga peristiwa itu menjadi pengajaran agar bersikap lebih bertimbang rasa, menghormati undang-undang dan menjaga kesejahteraan bersama.