YKN terus berbakti, santuni kumpulan sasar sempena Ramadan

Iklan
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyampaikan sumbangan duit raya kepada penerima pada Majlis Iftar Ala Madinah@Karangkraf. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyampaikan sumbangan duit raya kepada penerima pada Majlis Iftar Ala Madinah@Karangkraf. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyampaikan sumbangan duit raya kepada penerima pada Majlis Iftar Ala Madinah@Karangkraf. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sekali lagi melaksanakan inisiatif mulia dengan menyantuni 214 anak-anak dari tujuh institusi kanak-kanak termasuk dari pusat tahfiz, rumah asnaf, rumah perlindungan kanak-kanak, dan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada Majlis Iftar Ala Madinah @ Karangkraf pada Selasa di sini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, majlis yang diadakan bersempena bulan Ramadan ini merupakan salah satu usaha murni untuk menyantuni kanak-kanak yang memerlukan.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Pengerusi YKN, berkata, sumbangan kepada golongan memerlukan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia dan organisasi sentiasa pemurah hati serta prihatin terhadap nasib anak-anak yatim ini.

"Kita mengharapkan amalan sebegini berterusan bagi membantu meringankan beban keluarga dan juga anak-anak yang menjadi kumpulan sasaran kita," katanya.

Iklan

"Jadi, saya harap juga ada pihak lain melakukan usaha sama seperti Karangkraf demi memberi peluang kepada kanak-kanak di bawah institusi kita dan anak yatim mengumpul duit raya pada bulan puasa ini," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Ala Madinah @ Karangkraf serta Jelajah Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) 'Kami Dengar, Kami Bantu' YKN pada Selasa.

Iklan

Nancy (dua, kiri) dan Nordina (kiri) beramah mesra dengan pelajar yang mendapatkan perkhidmatan PSSS bergerak YKN.

YKN juga untuk kali kedua berturut-turut menaja sebanyak 1,500 pek juadah berbuka puasa kepada para pengunjung Majlis Iftar Ala Madinah@Karangkraf sebagai sebahagian daripada usaha meraikan kumpulan sasar sempena keberkatan bulan Ramadan.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, PSSS kini semakin mendapat perhatian sebagai platform baharu yang memberikan sokongan psikologi kepada golongan yang memerlukan.

Nancy memberitahu, YKN menerima banyak permintaan untuk membawa PSSS ini ke kolej, sekolah, dan tempat kerja, bagi membantu mereka yang memerlukan perkhidmatan kaunseling.

Tambah Nancy, PSSS menjadi pilihan mereka yang memerlukan sokongan mental untuk mengatasi tekanan, sekali gus menunjukkan keperluan sokongan mental adalah amat kritikal dan menjadi fokus utama dalam program tersebut.

Nancy (lima kiri) bersama wakil dari institusi kanak-kanak yang menerima sumbangan pada Majlis Iftar Ala Madinah Karangkraf.

Terdahulu, Nancy berkongsi pengalamannya menyertai majlis iftar secara beramai-ramai di Dataran Karangkraf sebanyak dua kali sejak tahun lepas.

Beliau turut mengalu-alukan inisiatif Karangkraf yang menganjurkan program iftar tersebut dan berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Saya juga tidak keberatan untuk duduk bersila dan berbuka puasa bersama-sama di dataran. Ia satu pengalaman yang sangat menyeronokkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron, memaklumkan bahawa anak-anak yatim yang hadir menerima pelbagai bantuan, termasuk pakaian raya, keperluan harian, dan duit raya yang disumbangkan oleh Alliance Islamic Bank.

Katanya, antara penerima sumbangan ialah Baitul Sakinah As Shariff, Persatuan Kebajikan Anak Yatim Miskin Al Munirah, dan Kompleks Tahfiz Al Quran & Sukan Sofiuddin (KOMTAS).

Pengunjung membanjiri Dataran Karangkraf untuk memeriahkan Iftar Ala Madinah@Karangkraf.

Beliau memaklumkan, selain itu, anak-anak yatim dari Darul Ulum Zaiyadal, Darul Tahfiz Darul Pekima, Saiful Nuang RPWP, dan Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor turut menerima sumbangan.

"Selain meraikan anak-anak yatim, YKN turut membawa PSSS bergerak untuk memudahkan masyarakat bertemu kaunselor dan meluahkan isi hati mereka," katanya.

Sehubungan itu, Nordina mengucapkan terima kasih kepada Karangkraf kerana menganjurkan majlis iftar tersebut, kerana ia bukan sahaja memberi peluang kepada YKN untuk menyantuni kumpulan sasar, tetapi juga memperkenalkan perkhidmatan PSSS disediakan mereka.

Tambahnya, PSSS yang menyediakan khidmat bimbingan kaunseling dan psikososial secara bersemuka bersama kaunselor berdaftar aktif melaksanakan siri jelajah di seluruh negara dalam usaha mengatasi isu tekanan mental yang semakin membimbangkan di seluruh negara.